Perjuangan jihad fisabilillah

 

Apa itu perjuangan Jihad Fisabilillah?.

 

Abuya Sheikh Imam Ashaari Muhammad at-Tamimi, dalam bukunya bertajuk AQIDAH MUKMIN I telah mentakrifkan erti perjuangan jihad fisabilillah (dalam waktu aman) adalah sebagaimana berikut:-

 

Perjuangan jihad fisabilillah ialah perjuangan yang bernar-benar kerana ALLAH dan untuk ALLAH semata-mata. Ianya benar-benar satu jihad menegakkan agama ALLAH dan hukum-hakam ALLAH samada melibatkan yang Wajib, yang Sunat, yang Makruh mahupun yang Haram. Mana-mana hukum yang Harus diperjuangkan agar menjadi ibadah.

 

(Bagaimana perkara-perkara yang Harus boleh menjadi ibadah kepada kita?. Seperti makan, minum, bekerja, tidur, safar, dll.

Iaitu ia mesti menepati tentang 5 Syarat berikut - Niat, Perkara, Perlaksanaan, Natijah dan Amalan Asas tidak boleh ditinggalkan.

Sila rujuk ‘5 Syarat-Syarat Ibadah’ untuk lebih maklum).

 

Perjuangan yang dibangunkan itu pula tidak boleh atas dasar hendak berkuasa dan memerintah, atas dasar hendakkan pangkat dan nama, atas dasar hendak menegakkan bangsa, atas dasar hendak menghapuskan kezaliman (walaupun disuruh) dan lain-lain.

 

Kalau kita berjuang dan berjihad atas salah satu daripada maksud di atas, perjuangan kita itu sia-sia sahaja. Belum lagi digolong sebagai jihad fisabilillah.

 

Kalau kita berjuang atas dasar kebangsaan sahaja, Rasulullah SAW ada mengingatkan kita di dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Tidak ada fahaman kebangsaan di dalam ajaran Islam”.

 

Fahaman kebangsaan adalah fahaman yang sempit yang akan mengajak manusia bergaduh, kerana masing-masing ada bangsa. Perjuangan demikian hanya akan mencetuskan puak-puak.

 

Kemudian Rasulullah bersabda lagi, “Bukan daripada golongan kami, orang yang berjuang kerana kebangsaan”.

 

Sebenarnya, kalau kita berjuang kerana menegakkan agama, bangsa akan terbela dengan sendirinya. Tetapi kalau kita berjuang membangunkan bangsa, agama akan dicuaikan. Hingga kerana itu, bangsa belum tentu dapat dibangunkan, agama sudah hancur berkecai. Kemungkinan besar fahaman kebangsaan dalam perjuangan itu akan mengambil-alih fahaman berjihad kerana agama.

 

Begitu jugalah dengan perjuangan menegakkan agama melalui konsep kapitalisme, sosialisme, sistem demokrasi terbuka@berpilihanraya dan sebagainya. Semuanya merupakan perjuangan yang tidak tepat untuk dinilai sebagai fisabilillah.

 

Inilah yang perlu kita awasi. Walaupun dalam berjuang itu, macam api keluarnya ayat-ayat Al Quran dan Hadis, tetapi kerana perjuangan tidak tepat, orang yang berjuang begini bolehlah kita katakan sebagai telah memperalatkan Al Quran dan Hadis untuk mencapai matlamatnya. Dan bagi kita pula, tidak seharusnya terpengaruh dengan perjuangan sedemikian. Ia bukan digolongkan sebagai jihad fisabilillah!.

 

Jihad fisabilillah yang sebenarnya adalah jihad yang setiap inci perjuangan tepat dengan kehendak ALLAH, yakni kehendak Al Quran dan Sunnah.

 

AL Quran dan Sunnah itu mesti dilaksanakan pada semua peringkat. Bukan pada negara sahaja tetapi juga di dalam diri sendiri, di dalam rumahtangga, di dalam masyarakat, di dalam pendidikan, di dalam ekonomi, di dalam politik, dan seterusnyalah hingga kepada persoalan alam sejagat.

 

Kemudian perlaksanaannya juga mesti betul hingga syariat lahir dan batin dijaga betul-betul. Kalau semuanya tepat mengikut kehendak Al Quran dan Sunnah, itulah yang dinamakan jihad fisabilillah, dan sekiranya orang yang berjuang itu mati dibunuh atau terbunuh, insya-Allah nilainya adalah sebagai syuhada ALLAH. Baharulah jisimnya dikekalkan oleh ALLAH SWT.

 

Malangnya, ada di kalangan pejuang-pejuang Islam pada akhir zaman ini, semacam beria-ria benar berjuang hendak menegakkan agama ALLAH dalam negara tetapi diri sendiri dicuaikan, anak isteri masih mendedah aurat, dia terlibat dengan maksiat dan mungkar. Pejuang-pejuang begini telah mempersempitkan persoalan agama kepada aspek negara sahaja.

 

Sedangkan Islam itu bukan untuk negara sahaja tetapi untuk semua aspek dan semua bidang. Dan semua bidang itu mesti diperjuangkan samada mengenai aqidah, ibadah, perjuangan dan jihad, ekonomi, pendidikan, rumah tangga, politik dan seterusnya hingga kepada persoalan negara dan hubungan alam sejagat.

 

Kemudian yang diperjuangkan itu pula mestilah bermula daripada alif, ba, ta (dari peringkat rendah, yakni bina iman dahulu), bukan terus melompat hingga ke hujung.

 

Demikianlah kata-kata Ustaz Ashaari Muhammad, yang saya kira amat jelas dan terang sekali akan maksud ‘Jihad Fisabilillah’. Tidak ramai ulama yang boleh memperkatakan hal demikian, lebih-lebih lagi sekarang ini ramai yang sudah tidak berkecuali. Sudah berpihak kepada parti-parti politik tertentu. Samada terikut-ikut dengan kumpulan ramai, iman tidak teguh atau tidak ada ilmu/minda yang relevan dengan zaman muktahir ini.

 

Itu baharu kita memperkatakan akan pengertian jihad fisabilillah.

 

Belum lagi kita membicarakan tentang tujuan perjuangan itu sendiri!.

 

Sebab orang zaman sekarang sudah tidak faham lagi akan maksud mereka berjuang. Mereka cenderung mengikut akal-akalan dan nafsu mereka semata.

 

Sebab apabila iman sudah tidak ada/tipis, nafsu sudah menguasai hati, akal sudah tidak berfungsi untuk berfikir dengan sempurna. Maka berlakulah kemungkaran kerana, “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”.

 

 

Di sini suka saya mengutip sebuah madah bertajuk ‘Tujuan Berjuang’ dari Majalah ‘Alim untuk renungan bersama.

 

TUJUAN BERJUANG

 

Tujuan berjuang kerana hendak mengenalkan Tuhan Pencipta alam

Agar disanjung, dicintai, disembah dan dijadikan idola                         

Selepas itu hendak kenalkan syariat-Nya untuk keselamatan manusia

Agar manusia hidup bersatu, bekerjasama, harmoni dan bahagia

Berjuang bukan kerana ekonomi, membangun dan berkemajuan

Ia merupakan sampingan sahaja, kalau boleh dijadikan untuk Tuhan

Berjuang mengajak manusia membesarkan Akhirat

Mengingatkan manusia, Akhirat tempat akhir buat insan

Di sana tempat kekal abadi

Sama ada di Syurga mahupun di Neraka

Itulah tugas-tugas para daie, mubaligh-mubaligh dan ulama

Mengajak manusia menyembah Tuhan

Jalan dan caranya itulah syariat-Nya

Jangan membesarkan Tuhan atau menyembah-Nya dengan cara yang kita reka-reka

Sekalipun yakin betul tapi tersesat jalannya

Ingin kepada Tuhan jalannya telah dinyatakan dan dijelaskan

Kalau jalannya mengikut cara sendiri tidak sampai kepada-Nya

Hari ini dakwah dan ceramah merata negara

Mercup tumbuhnya macam cendawan tumbuh di musim hujan

Tapi isinya politik dan unsur-unsur yang membawa pergaduhan

Tuhan tidak dikenalkan, jauh sekali untuk disanjung dan dibesarkan

Ini bukan pendakwah tapi pendakyah

Ia bukan fisabillah

Tapi jalan yang sudah tersalah

Ini bukan hendak menari redha Allah

Tapi mencari bala dan dosa serta Neraka.

 

 

POST MORTEM (BEDAH SIASAT)

 

Cuba kita periksa permasalahan di atas, samada betul atau tidak berlaku ketidakluhuran hubungan kasih antara makhluk dengan Khalid-Nya.

 

Antara fakta tersebut ialah:-

 

1)     Pernahkah kita mengkaji sifat Tuhan sehingga dapat merasakan dalam hati, Tuhanlah yang sepatutnya diagongkan dan dibesarkan lebih dari segala-galanya.

 

2)     Kita belum merasakan hanya kepada Tuhanlah tempat meminta pertolongan. Buktinya dalam apa jua masalah yang timbul kita tidak merujuk kepada Tuhan. Kita lebih banyak mengadu dan menceritakan masalah-masalah kita kepada manusia.

 

3)     Begitu juga kita tidak menjadikan Tuhan sebagai pujaan atau kecintaan. Lebih-lebih lagi untuk menjadikan Tuhan sebagai idola. Buktinya, kita lebih mencintai isteri atau suami dan anak-anak. Kita sanggup berkorban untuk isteri atau suami yang tersayang daripaa berkorban untuk Tuhan. Seorang ibu sanggup bercengkang mata menunggu anak yang terlantar sakit berbanding bercengkang mata melakukan solat di tengah malam kerana rindu kepada Tuhan. Itu sahaja sudah cukup membuktikan bahawa kita lebih mencintai anak daripada mencintai Tuhan.

 

4)     Bahkan banyak lagi perintah Tuhan yang masih kita abaikan malah kadang-kadang kita pertikaikan karana ia amat bertentangan dengan nafsu kita.

 

5)     Rasa bertuhan atau sensitiviti kepada Tuhan sudah tidak ada lagi di hati kita. Buktinya kita merasa kagum, hairan dan takjub kepada sesuatu ciptaan Tuhan tetapi sedikit pun tidak kagum dengan Tuhan yang menciptakan benda tersebut. Misalnya, orang kagum dengan bangunan pencakar langit, sehingga berlumba-lumba bersaing membina bangunan yang tinggi-tinggi. Tapi yang peliknya, orang tidak pernah mengkagumi Tuhan yang menciptakan alat-alat untuk membuat bangunan itu seperti batu, besi, pasir dan sebagainya.

 

Begitu juga orang kagum dengan teknologi canggih era siber, tapi tiada seorang pun yang kagum pada Tuhan yang mampu berkomunikasi tanpa perantaraan apa-apa. Tuhan mampu berkomunikasi dengan manusia dalam satu masa di dunia hanya melalui sejenis alat komunikasi teknoloji paling tinggi yang diciptakan Tuhan iaitu hati.

 

Hati dapat berkomunikasi dengan Tuhan tanpa ada perantaraan apa-apa. Gelombang hati ini boleh bergerak lebih laju daripada gerakan cahaya. Itulah teknoloji ciptaan Tuhan yang tiada siapa dapat mengatasi kecanggihannya. Namun tiada siapa yang mengkagumi kehebatan Tuhan itu.

 

6)     Manusia kagum dengan keajaiban otak, tetapi tidak pernah kagum kepada Tuhan yang mencipta otak. Pendek kata manusia sangat memuja alam semesta ini tetapi Tuhan yang mencipta alam itu tidak dipuja dan diagungkan.

 

 

Lihatlah betapa terpesongnya hidup kita dalam pencarian Tuhan di alam yang fana ini.

 

Yang direbut-rebut ialah alat (dunia/kekuasaan/kemewahan, dll), bukan matlamat (cinta ALLAH/Alam Akhirat).

 

Justeru itu, perjuangan memperkenalkan Tuhan mestilah diutamakan dan dibuat secara intensif sehingga hati manusia benar-benar merasa bertuhan. Setelah itu barulah diperjuangkan syariat Tuhan.

 

ALLAH jadikan syariat itu semata-mata untuk keselamatan manusia. Apabila sudah ada rasa bertuhan, barulah mudah manusia menerima syariat Tuhan itu.

 

Orang yang sudah kenal dengan Tuhan, jatuh hati pada Tuhan, cinta pada Tuhan, baharulah dia mengikut segala peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan. Agar dengan syariat tadi, manusia hidup bersatu-padu, boleh bekerjasama, hidup harmoni dan bahagia dalam masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan bangsa.

 

Sepatutnya inilah tugas para daei, mubaligh-mubaligh dan ulama di dalam berjuang.

 

Kita sepatutnya mengajak manusia supaya menyembah Tuhan, membesarkan Tuhan dan mengagungkan-Nya mengikut jalan yang ditunjuk-Nya. Bukan dengan cara yang direka-reka mengikut kehendak sendiri. Sekalipun yakin cara itu betul tapi ternyata apa yang diperjuangkan akhirnya menyimpang jauh dari Tuhan.

 

Kalau kita benar-benar ingin menuju Tuhan, jalannya telah dinyatakan dan jelas sekali berserta contoh-contoh yang dibuat oleh Rasulullah SAW. Cuma kadang-kadang kita yang menyulitkan jalan yang telah jelas tadi.

 

Buktinya, walaupun banyak ceramah agama dan dakwah dilakukan di merata tempat tapi isinya berunsur politik dan unsur-unsur yang membawa umat Islam kepada pergaduhan dan perpecahan.

 

Walaupun masing-masing mendabik dada mengatakan apa yang diperjuangkan adalah Islam, tapi hakikatnya umat Islam semakin berpecah dan tidak bersatu. Kata-mengata, fitnah-menfitnah, mengadu domba dan mencanai kesalahan orang menjadi agenda utama dalam ceramah yang disampaikan. Hasil perjuangan yang dilagang memporak-perandakan masyarakat Islam, malah menjauhkan manusia daripada Tuhan. Apakah yang akan kita jawab di hadapan Tuhan di Yaumil Mahsyar kelak!.

 

Persoalan Tuhan, sedikit sangat atau langsung tidak disentuh di dalam ceramah-ceramah. Jauh sekali Tuhan hendak disanjung dan dibesarkan di dalam ceramah itu. Apalagi hendak diperkatakan tentang nasib di Akhirat. Kalau begitulah, apakah layak kita digelar pejuang Islam?.

 

(Tarbiah di atas diambil dari Buku AQIDAH MUKMIN I dan MAJALAH ‘ALIM dengan sedikit tambahan oleh penulis supaya lebih jelas maksudnya).

 

ULASAN

 

APIPI@Abuya.Jr.001

 

19092001