“ROH AMAL”
ISLAM itu ada lahir, ada
batin. Ada jasad, ada roh. Ada rangka, ada nyawa. Islam itu ada kulit, ada isi. Batin Islam atau roh Islam atau nyawa Islam
atau intipati Islam itulah yang dikatakan ‘rohul amal’, yakni roh
dalam kita bekerja, roh dalam kita bertindak, roh dalam kita melaksanakan
sesuatu, roh dalam kita berjuang dan berjihad, roh dalam sebarang usaha ikhtiar
kita, walau dalam bidang apa sekalipun dalam ibadah, dakwah, ekonomi, politik,
pembangunan, pertanian, kesihatan, dan lain-lain.
Roh amal inilah yang
hendak kita jaga sungguh-sungguh kerana ia merupakan nyawa, di samping kita
tidak pula menafikan amal lahir atau syariat lahir yakni benda-benda yang dapat
dilihat dengan mata lahir.
Roh amal itulah tempat pandangan
ALLAH kerana ia merupakan intipati amal.
Lubbun daripada roh amal itulah ALLAH menilai. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasul dalam
sabdanya, “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu
dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu”. (Riwayat Muslim).
Maksudnya, amalan lahir
yang kita buat seperti rukuk, sujud, berdiri dan bacaan-bacaan dalam
sembahyang, semuanya ALLAH tidak pandang kalau rohnya sudah tidak ada. Begitu juga percakapan kita yang didengar
oleh manusia, perjuangan kita dengan menggunakan tangan dan kaki, pergi ke sana
ke mari, bermacam-macam bentuk pembangunan yang kita hasilkan dalam bidang
ekonomi, pertanian dan sebagainya; semuanya tidak ada nilaian di sisi ALLAH
kalau rohnya tidak ada.
Jadi ALLAH tidak melihat
dan memandang gambaran lahir tetapi ALLAH melihat hati kita. Roh usaha kita itu yang ALLAH pandang di
samping usaha itu perlu dibuat. Roh
amal itu yang dipandang oleh ALLAH di samping amal itu perlu dibuat. Roh jihad itulah yang ALLAH nilai di samping
jihad itu perlu dilaksanakan. Roh puasa
itulah yang ALLAH beri markah di samping puasa itu perlu dibuat. Begitulah seterusnya. Jadi dalam kita
beramal, kedua-duanya lahir batin - mesti kita buat, tetapi penilaian ALLAH
pada yang batin.
Islam ada rangka, ada nyawa;
kedua-duanya perlu. Tetapi nyawa itulah yang dinilai oleh ALLAH. Jadi kalau
usaha, ibadah, pembangunan, jihad atau apa saja yang kita cetuskan, sedangkan
rohnya tidak ada, samalah seperti manusia yang sudah tidak ada nyawa. Ertinya
sudah dianggap bangkai. Manusia, walau
bagaimana cantik sekalipun, kalau sudah tiada nyawa maka akan ditanam saja,
tidak perlu disimpan lagi. Orang hormat kepada ratu cantik itu kerana rohnya
atau nyawanya masih ada lagi.
Justeru itu, kita
beribadah mesti berserta roh. Kita
berdakwah mesti berserta roh. Kita
berjihad mesti berserta roh. Begitu
juga kita bermusafir, bergaul, berilmu, berpadu, berdoa, berzikir, berekonomi,
membangunkan pertanian, membangunkan kesihatan, berkumpul, dan sebagainya;
semuanya mesti berserta roh. Hinggakan
diam kita pun mesti ada roh. Jadi roh amal perlu kita jaga kerana ia merupakan
nilaian ALLAH SWT, di samping soal-soal lahir wajib juga dilaksanakan dan ia
tidak boleh diabaikan.
Apa yang dimaksudkan
dengan roh amal atau nyawa pada amal, pada usaha kita, pada perbuatan kita,
pada ibadah kita itu?.
Sebagai contoh, berikut
adalah beberapa amalan yang boleh kita nilai sama ada wujud atau tidak rohnya.
Kalau kita bersembahyang,
roh sembahyang itu di antaranya ialah khusyuk, faham apa yang kita baca, hati
berasa hina dan kecil di hadapan ALLAH, serta merasakan kebesaran dan kehebatan
ALLAH SWT.
Bila ada roh yang begitu
rupa dalam sembahyang, baru boleh dikatakan sembahyang. Barulah amal sembahyang itu ALLAH
terima. Kalau tidak ada maka sujud kita
tiada erti apa-apa, berdiri kita tiada erti apa-apa, kefasihan lidah kita
membaca ayat-ayat tiada erti apa-apa.
Duduk berdiri kita dalam sembahyang sudah tiada erti apa-apa kalau roh
sembahyang atau nyawa sembahyang kita sudah tidak ada. Sembahyang yang sudah tidak ada roh ialah
'Sembahyang Bangkai'.
Contoh yang lain ialah roh
dalam kita berdakwah seperti bercakap, menyampaikan risalah, buku, makalah dan
sebagainya. Bagaimanakah yang dikatakan
dakwah yang ada roh atau dakwah yang ada nyawa itu?. Iaitu bilamana setiap
pendakwah itu merasa apa yang dia buat itu satu tanggungjawab daripada ALLAH
SWT, bukan daripada diri dia, dan bukan tanggungjawab daripada jemaah. Jemaah
itu cuma sebagai landasan untuk dia berjuang.
Seolah-olahnya dia
mewakili ALLAH. Ibarat kita mewakili raja atau perdana menteri atau menteri,
bolehkah bersenang-senang?. Oleh itu, dalam berdakwah kita patut merasa kita
mewakili ALLAH di dunia ini untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada umat
manusia. Inilah yang dikatakan mesti
ada rasa tanggungjawab dalam soal dakwah kerana kita diperintahkan oleh ALLAH
SWT supaya berdakwah.
Kita berdakwah membawa
hati yang takut kepada ALLAH.
Takut-takut tersilap menyampaikan, atau tersilap menilai hukum. Sebab, kadang-kadang apa yang kita sampaikan
dan hukum yang kita beri dalam berdakwah itu didengar oleh ribuan orang. Mereka akan berkeyakinan atau berpegang
mengikut sebagaimana yang kita ucapkan atau sampaikan. Kalau kita tersilap, bukan senang kita
hendak jumpa setiap orang untuk membetulkan kesilapan kita.
Kalau apa yang kita
sampaikan itu tidak tepat sebagaimana yang ALLAH dan Rasul perintahkan, bukan
sahaja kita terpaksa bertanggungjawab di dunia tetapi juga di Akhirat
kelak. Inilah yang dimaksudkan, sewaktu
kita berdakwah itu mesti ada rasa takut dalam hati. Takut-takut dalam kita berdakwah itu kita tersalah dan
tersilap. Takut itu dalam hati, bukan
pada telinga, bukan pada lisan. Sebab
itulah kalau kita berdakwah, kita kena bawa hati sama. Jangan hanya membawa
lisan sahaja atau membawa cakap sahaja tanpa membawa hati.
Dan yang dikatakan roh
dakwah lagi, kalau umpamanya dakwah kita orang ramai terima hingga mendorong
mereka membuat perubahan, kita rasa syukur kepada ALLAH SWT. Kerana itu adalah kuasa dan nikmat
dari-Nya. Rasa syukur itu dirasai oleh
hati, bukan mulut, bukan telinga. Jadi kita mesti rasa syukur bila dakwah kita
diterima orang. Itulah di antara roh
dalam kita berdakwah. Jadi kita berdakwah itu bukannya kerana hobi. Bukan macam kita memancing ikan, memikat
burung, main catur ataupun jogging - itu hobi. Jangan kita rasa berdakwah itu
sebagai satu hobi tetapi hendaklah kita rasakan ia satu kewajipan yang telah
ALLAH pikulkan kepada kita.
Oleh kerana kita hendak
menyampaikan daripada pihak ALLAH, ia mestilah disertai rasa takut, rasa
bimbang. Oleh itu bila orang terima
usaha dakwah kita itu, kita rasa syukur kepada ALLAH SWT. Lebih-lebih lagi bukan untuk dibanggakan
atau kerana minta dipuji. Kalau roh
dakwah ini sudah tidak dijaga walau bagaimana pandai dan fasih kita berdakwah,
dan orang senang dengan apa yang kita sampaikan, tetapi ALLAH tidak
senang. Orang ramai redha tetapi ALLAH
tidak redha. Kerana roh dakwah sudah
tidak ada di situ; kita hanya membawa rangkanya semata-mata. Sedangkan rohnya sudah tiada. Ertinya membawa 'Dakwah Bangkai'.
Jihad ialah gerak diri
kita, gerak kaki kita, gerak tangan kita, pergi ke sana-sini memerah otak untuk
memikirkan bagaimana hendak menegakkan hukum-hukum ALLAH dalam kehidupan
kita. Memerah tenaga lahir dan batin
kita untuk mendaulatkan Islam yakni agar hukum-hakam ALLAH itu mendapat tempat
di tengah-tengah masyarakat. Ini semua
jasad lahir atau rangka pada jihad itu.
Rohnya, batinnya macam mana?.
Di antaranya, hati mesti
dibawa sama dalam berjihad. Hati mesti
merasa jihad ini satu tanggungjawab atau satu kewajipan yang telah ALLAH
pikulkan kepada kita. Ertinya kita
berjihad bagi pihak ALLAH, bukan bagi pihak diri kita, dan bukan bagi pihak
jemaah kita. Jemaah itu hanya sebagai landasan untuk memudahkan kita berjuang
dan berjihad di tengah masyarakat.
Di antara roh jihad lagi
ialah niat. Niat itu ialah kerja hati;
peranan batin. Niat jihad ialah untuk
meninggikan kalimah ALLAH yakni hukum ALLAH yang lima itu: yang Wajib dan yang
Sunat hendak kita tegakkan dalam semua aspek kehidupan; yang Haram dan Makruh
hendak kita hindarkan dari semua aspek kehidupan; dan yang Harus, kalau boleh
kita jadikan ibadah.
Seterusnya, dalam waktu
kita berjihad itu hendaklah kita berasa takut kepada ALLAH SWT. Kerana jihad ini simpang-siurnya dan
liku-likunya terlalu banyak, gelanggangnya terlalu luas; maka mudah saja
tersalah dan tersilap. Jadi kena bawa hati sama dalam berjihad. Hendaklah sentiasa ada rasa takut kalau-kalau
tersalah dan tersilap. Kalau perjuangan
kita tersalah dan tersilap, bukan saja kita rugi dan akan terhukum di dunia
bahkan di Akhirat lebih parah lagi ALLAH akan hukum kita.
Di antara roh dalam jihad
lagi ialah harapkan bantuan daripada ALLAH.
Walaupun kita gigih dan aktif berjuang tapi hati mesti selalu saja
bergantung kepada Tuhan. Kerana
mengikut pengajian dalam aqidah, usaha ikhtiar manusia itu tidak memberi bekas;
yang memberi bekas atau yang menjayakan adalah ALLAH SWT. Oleh itu dalam berjihad, hati mesti
bergantung kepada ALLAH. Mesti berharap
kepada-Nya.
Kemudian, yang dikatakan
roh jihad lagi ialah, dalam berjihad itu kita rasa lemah. Walaupun kita ada banyak pengikut, alat kelengkapan
yang cukup dan hebat, gelanggang jihad kita luas dan sebagainya, namun kita
mesti rasa lemah di hadapan Tuhan.
Sebab kejayaan itu daripada ALLAH, bukan dari usaha ikhtiar kita
walaupun usaha dan ikhtiar kita itu memang diperintahkan. Jadi walaupun
riuh-rendah kita berjihad, sampai kadang-kadang mulut kita menempikkan kalimah
ALLAHU AKBAR tetapi hati kita mesti tunduk dan mesti rasa lemah kepada Tuhan.
Seterusnya, dalam berjihad
kita rasa syukur bila mendapat kejayaan dan kemenangan. Ini juga roh jihad. Hendaklah kita malu dengan ALLAH sebab
kemenangan itu hadiah atau pemberian dari ALLAH. Ia merupakan rahmat dan nikmat
dari-Nya.
Kemudian, bila kita kalah
atau tidak berjaya umpamanya, hati jangan rasa kecewa. Yang baiknya, hati
merasa diri berdosa yang kerananya ALLAH tidak tolong. Tidak bolehlah
disalahkan itu dan ini.
Tetapi salahkan diri kita
sendiri; ini tiada lain lantaran dosa-dosa kita hingga kita terhijab dari
bantuan ALLAH. Oleh itu, setiap kali
kita menemui kegagalan dalam berjuang, hendaklah cepat-cepat ingat kembali
kepada dosa. Dosa itulah yang menghijab
bantuan daripada ALLAH SWT.
Bagaimana pula roh amal
dalam bermusafir, berekspedisi atau mengembara?. Di antara rohnya, di dalam musafir hendaklah kita sentiasa peka
dengan apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar. Apa saja yang kita lihat dan yang kita dengar mestilah diambil
iktibar dan pengajaran daripadanya.
Yang baik kita jadikan teladan, dan yang jahat kita jadikan sempadan.
Di
antara roh bermusafir lagi umpamanya, terasa kebesaran ALLAH bilamana melihat
alam atau melihat pemandangan. Dalam safar (pemusafiran) itu, hati terasa
dilihat oleh ALLAH SWT. Kalau dalam
safar, hati tidak terasa dilihat oleh ALLAH, itulah yang kadang-kadang
menyebabkan mata kita jadi mata keranjang.
Macam-macam benda yang bukan-bukan yang kita lihat nanti.
Oleh itu di dalam safar
kita kena bawa hati sama iaitu terasa dilihat oleh ALLAH SWT. Firman ALLAH, “ALLAH sentiasa bersama
kamu di mana saja kamu berada. (Al Hadid: 4).
Maksudnya di mana saja
kita berada, ALLAH Maha Melihat, bukan saja yang lahir malah sampai ke lubuk
batin kita.
Di antara roh safar lagi,
kalau di dalam musafir kila lihat orang buat maksiat, hendaklah masukkan ke
dalam hati kita rasa insaf, moga-moga jangan kita melakukan perbuatan itu dan
moga-moga jangan kita terjebak.
Kemudian, jika kita lihat
kebajikan dan kebaikan, hati hendaklah terasa ingin untuk berbuat dan
menirunya. Kalaupun belum
berkesempatan, hati setidak-tidaknya hendaklah bercita-cita atau pasang niat
akan berbuat.
Dan di antara roh safar
lagi, bila kita melihat orang yang dalam kesusahan atau mendapat kemalangan,
hati rasa simpati dan rasa sedih walaupun tidak dapat memberi bantuan. Jangan rasa gembira dengan kesusahan orang
lain.
Contoh roh amal lagi,
dalam kita bergaul sesama manusia, kita merendah diri walaupun kita ini orang
pandai dan pintar atau mempunyai kedudukan yang tinggi. Selain itu, kita sensitif dengan kebaikan
yang dilihat. Dalam pergaulan di tengah-tengah
masyarakat, kadang-kadang kita lihat orang buat baik, seperti menolong orang
atau berkorban. Maka hendaklah kita
sensitif dengan perbuatan itu dan terbitkan keinginan di dalam hati untuk
menirunya pula. Seolah-olah perbuatan
baik mereka itu mencabar kita, mengapa kita tidak berbuat demikian?.
Dalam kita bergaul, kita
tidak dapat mengelak daripada melihat maksiat umpamanya. Maka hendaklah kita mengambil pengajaran
daripadanya. Hati mesti rasa takut
dengan maksiat yang orang lain terlibat itu.
Dan hati rasa bimbang, kalau kita sama-sama terlibat dengannya.
Di antara roh dalam
pergaulan lagi, hati rasa lapang berhadapan dengan bermacam-macam perangai
manusia; maklum kita sedang bergaul di tengah-tengah masyarakat. Kadang-kadang waktu kita hendak rehat, di
masa itulah orang hendak jumpa kita.
Maka hendaklah lapangkan dada walaupun hati rasa tak senang. Yang sebenarnya ALLAH hendak beri kita
pahala waktu itu. Inilah yang dikatakan
Tasamuh - berlapang dada ketika
bergaul dan berhadapan dengan berbagai-bagai ragam manusia.
Di antara roh dalam
pergaulan lagi, belajar membaiki diri daripada orang. Sebab, tidak kurang juga kita akan melihat orang-orang yang baik
dalam pergaulan kita. Itulah pengajaran
lisanul hal untuk kita tiru. Itulah tarbiah untuk diri kita. Kalaulah perkara-perkara yang tersebut tidak
ada dalam pergaulan kita, ertinya kita bergaul tanpa roh. Nyawa pergaulan itu tidak ada.
Kita bclajar hingga dapat
ilmu, maka ilmu yang kita miliki itu dikira ada roh apabila ia sentiasa
mengingatkan kita bahawa kita mempunyai banyak tanggungjawab kepada ALLAH yang
mesti kita laksanakan. Jadi kalau kita memiliki ilmu yang begitu banyak tetapi
ia tidak mengingatkan kita bahawa kita ada tanggungjawab kepada ALLAH, ini
bermakna roh atau nyawa ilmu itu sudah tidak ada. Yang ada hanya ‘mental
exercise’ sahaja.
Oleh kerana roh ilmu
mengingatkan kita akan tanggungjawab kepada ALLAH, maka bila kita ada ilmu,
kita akan merasakan tanggungjawab yang semakin berat. Makin banyak kita tahu, makin banyak pulalah tanggungjawab. Mengingatkan tanggungjawab itu peranan
hati. Bila kita memiliki ilmu, ia
mengingatkan kita akan perintah-perintah ALLAH sama ada yang wajib mahupun yang
sunat yang hendak kita tegakkan. Ia juga mengingatkan kita akan perintah haram
dan makruh yang hendak kita tinggalkan.
Di antara roh ilmu lagi,
apabila kita memilikinya, ilmu itu akan mendorong hati kita cintakan Akhirat,
cintakan ALLAH. Ia mendorong hati kita benci dengan dunia (yang tidak memberi
manfaat untuk Akhirat). Walaupun kita
berjuang di dunia, menegakkan hukum ALLAH di dunia, mengatur masyarakat di
dunia, mengambil kekayaan-kekayaan yang ALLAH halalkan di dunia yang semuanya
itu diperintahkan olch ALLAH, namun hati tetap benci dengan dunia yang sentiasa
saja hendak menipu kita.
Oleh itu di antara roh
dalam berilmu itu, kita ulang lagi ialah, ia sentiasa menyedarkan hati kita
bahawa dunia ini penipu, jahat dan hendak merosakkan kita. Kalau kita rasa begitu terhadap dunia maka
sudah tentu dunia tidak akan dapat tipu kita.
Ambillah dunia yang halal tapi ingat, kadang-kadang ia boleh merosakkan
kita. Carilah harta kekayaan tapi
ingat, kadang-kadang ia menjahanamkan kita.
Berniagalah sebesar manapun tidak salah asalkan halal. Tapi ingat,
jangan sampai ia merosakkan hati kita, merosakkan perpaduan antara kita.
Jadi kalau roh-roh dalam
berilmu ini tidak kita miliki ertinya kita baru dapat rangka ilmu atau jasad
lahirnya saja. Yakni ilmu tanpa roh,
atau dalam kata yang lain, 'ilmu-ilmu bangkai'. Kalau ilmu-ilmu bangkai yang kita dapat, ia tidak boleh
menyelamatkan kita daripada rasa sombong, megah, riyak dan lain-lain mazmumah
lagi.
Bagaimana pula yang
dikatakan roh amal dalam perpaduan?.
ALLAH suruh kita berpadu maka kenalah kita berpadu. Perpaduan dan persatuan yang ALLAH suruh itu
mesti ada rohnya. Apakah roh perpaduan
itu?. Di antaranya, kita berpadu itu
mesti disertakan Ukhuwah (rasa
persaudaraan). Ertinya jangan hanya
fizikal kita saja yang bersentuh tapi hati tidak bertaut.
Seterusnya, perpaduan juga
dikira ada roh bilamana ia disertakan rasa kasih sayang. Kalau kita berpadu dan berkumpul tapi tiada
rasa kasih sayang, maka amat berat rasanya kita hendak bertemu selalu. Kalau
ada tersalah tersilap, lagi benci hendak bertemu. Memang kalau tiada pautan hati, terasa benci hendak bertemu,
lebih berat lagi kalau ada yang tersalah dan tersilap kepada kita. Tapi kalau bertemu dengan hati, ada rasa
kasih sayang antara satu sama lain hingga rindu-merindui. Seminggu tidak berjumpa sudah bertanya-tanya,
polan tu mana... Itulah roh perpaduan dan persatuan. Bila ada kasih sayang, krisis dapat dihindarkan. Kalau ada krisis pun, cepat padam, tidak
berpanjangan kerana masih ada lagi pertautan hati.
Termasuk dalam roh perpaduan
juga ialah doa mendoakan. Doa itu tidak
semestinya dengan angkat tangan atau bercakap tapi juga doa dalam hati. Bila kita nampak kawan buat baik, hati rasa
senang dan mendoakan, biarlah dia terus dalam kebaikan. Bila kita tahu kawan ada melakukan
kesilapan, hati merasakan mudah-mudahan jangan dia buat lagi. Hati kita berdoa kepada ALLAH, mudah-mudahan
ALLAH berikan kawan kita pimpinan, taufiq dan hidayah. Kawan itu tidak dibenci, sebaliknya kalau
boleh diberi nasihat.
Di antara roh-roh perpaduan
lagi ialah ingin bertolong bantu, dan simpati atas kesusahan atau ujian yang
menimpa kawan. Jadi kita berpadu bukan kerana pangkat atau kerana inginkan
bantuan, atau kerana takutkan musuh. Juga bukan kerana ekonomi dan bukan kerana
itu dan ini. Tetapi kerana ia tuntutan daripada ALLAH SWT. Kalau kita berpadu kerana ALLAH maka indah
sekali perpaduan itu. Perpaduan itu
akan sentiasa kukuh.
Kalau tidak,
bermacam-macam krisis akan timbul.
Inilah 'perpaduan' yang wujud di kalangan manusia di seluruh dunia hari
ini. Mereka melaungkan "Mari
bersatu, mari bersatu ... !". Tapi tukang cakap itulah yang membawa pecah
belah. Dia ajak orang ramai berpadu
tetapi di sudut yang lain dialah pemecah belah umat. Oleh itu roh perpaduan kena dijaga. Kalau tidak nanti hanya berlaku pertautan fizikal tetapi tiada
pertautan hati. Pertemuan itu biarlah
dengan tautan hati, bukan dengan tautan fizikal semata-mata yang tiada erti
apa-apa.
Orang Mukmin itu, menurut
Rasuluilah, ialah mereka yang “... jiwa (roh) mereka antara satu sama lain
sentiasa ikat-mengikat (berangkai-rangkai, tiada putus-putus)”.
Contoh roh amal dalam berdoa pula
bagaimana?. Doa itu dalam bahasa
Melayunya 'meminta'. Maka antara
rohnya, mesti faham apa yang kita minta kepada ALLAH SWT. Kalau kita minta (sesuatu) tapi tidak faham
apa yang kita minta, maka ajaib juga.
Umpama kita minta sesuatu daripada Kerajaan, apabila ditanya balik,
"Apa yang kamu minta?". Kita jawab, "Tidak tahu". Aneh
juga.
Roh berdoa lagi, waktu
berdoa itu rasa merendah diri dengan Tuhan. Ibarat kita hendak minta sesuatu
daripada menteri umpamanya, janganlah cekak-cekak pinggang di hadapannya,
sebaliknya mesti dengan bahasa yang lembut dan merendah diri. Jadi waktu kita
berdoa itu mesti rasa merendah diri dan mengharap kepada Tuhan.
Termasuk juga roh berdoa, waktu berdoa itu kita yakin ALLAH terima doa
kita. Jangan pula sewaktu berdoa hati kecil kita berkata, "Entahlah, akan
ALLAH kabulkan atau tidak...". Ertinya, dalam meminta kita sudah jahat
sangka dengan ALLAH.
Walhasil
dalam apa saja yang kita buat, roh amal itu mestilah kita kekalkan. Hinggakan diam pun mesti ada roh. Roh dalam diam itu macam mana?. Waktu diam itu, kita berfikir. Berfikir tentang kebesaran ALLAH, berfikir
tentang diri sendiri (sebagai hamba ALLAH dan khalifah-Nya), berfikir tentang
dosa, berfikir tentang mati, berfikir tentang perjuangan, berfikir tentang
Akhirat, berfikir tentang apa lagi pengorbanan yang hendak kita buat, berfikir
tentang tanggungjawab yang belum kita laksanakan.
Sebab itulah, diam orang
bertaqwa ini dianggap ibadah dan diberi pahala. Kerana diamnya itu ada roh. Ia kadang-kadang lebih baik daripada
orang mukmin yang tidak bertaqwa yang nampaknya aktif di tengah gelanggang
kehidupan ini.
Jadi amal ibadah kita,
perjuangan kita, usaha kita dan lain-lain lagi; mesti mempunyai roh. Kalau tidak, semua amal kita itu hanya
rangka-rangka atau jasad lahir semata-mata.
Ia seperti bangkai sahaja. Amal
tanpa roh adalah sia-sia. Kerana yang
ALLAH nilai adalah rohnya; walaupun kita wajib beramal. Oleh itu roh setiap amal hendakiah kita jaga
agar ia ada nilai di sisi ALLAH SWT.
Kalau ibadah, perjuangan,
jihad dan segala amal kita tidak ada roh, biasanya disebabkan apa?. Biasanya
berpunca dari cinta dunia, berpunca dari kasih kepada perempuan, kasih kepada
pangkat, berpunca dari bermacam-macam dosa yang kita buat, dan berpunca
daripada tidak faham. Kadang-kadang
kita buat juga amal ibadah, tetapi kerana kita tidak faham (jahil), amal ibadah
kita itu tidak ada roh.
Bila
tidak ada roh, ertinya kita beramal dalam lalai. Mata berdakwah tapi rohnya tidak ada; ertinya berdakwah dalam
keadaan lalai. Kalau kita berekonomi
walaupun berjaya dan dapat menegakkan yang halal tapi rohnya sudah tidak ada
maka kita berekonomi dalam keadaan lalai.
Kalau kita bermusafir tanpa rohnya, ertinya bermusafir (dalam keadaan
lalai. Kalau kita mengajar walaupun
mengajar ilmu Tuhan (ilmu tauhid, feqah dan tafsir sekalipun) tapi rohnya sudah
tidak ada, ertinya mengajar dalam keadaan lalai.
Kalau
kita belajar tapi tiada rohnya, ertinya kita belajar dalam keadaan lalai. Kita berjemaah tiada roh, ertinya berjemaah
dalam keadaan lalai. Kita bertemu tapi
tidak ada roh, maknanya bertemu dalam keadaan lalai. Kita berjihad tanpa roh, ertinya berjihad dalam keadaan lalai.
Sifat lalai ini dimurkai
ALLAH. Lalai itu termasuk 'Dunia'. Sebab yang dikatakan 'Akhirat' itu ialah
sesuatu yang ada hubungan ingat kepada ALLAH.
Kalau tiada hubungan ingat kepada ALLAH, itu amal dunia namanya. Sedangkan dalam Al Quran ada menyatakan: Jangan
kamu menjadi orang yang lalai. (Al Araf. 205).
Oleh sebab itu, setiap
usaha dan ikhtiar kita mesti disertakan rohnya. Sebab rohnya itulah tempat nilaian ALLAH. Inilah yang dimaksudkan oleh Hadis, “Hendaklah
kamu takut kepada ALLAH di mana saja kamu berada, dan hendaklah kamu ikuti
kejahatan itu dengan kebaikan; nescaya ia akan menghapuskannya. Dan hendaklah kamu berakhlak sesama manusia
dengan akhlak yang baik”. (Riwayat Ahmad, At Taymizi, Al Baihaqi).
Ertinya dalam masa kita
berjihad, kita mesti ada rasa takut kepada ALLAH. Begitu juga dalam masa kita bersembahyang, beramal ibadah,
bermusafir, bergaul, bertemu dan berjemaah; mesti ada rasa takut kepada ALLAH.
Jadi, adanya rasa takut dalam apa saja tindakan yang kita buat itulah
sifat-sifat taqwa; itulah roh-roh amal yang telah digambarkan tadi.
Oleh kerana itulah dalam
kitab ada dinyatakan, "Cukuplah dua rakaat sembahyang sunat tapi
dikerjakan dalam keadaan takut kepada ALLAH SWT daripada beribu-ribu rakaat
yang tidak disertakan rasa takut kepada ALIAH (roh amal itu tidak ada atau rasa
taqwa tidak ada)”.
Jadi kita perlu
membangunkan roh dalam setiap amal yang kita buat kerana di situlah nilai dari
ALLAH. Kalau kita boleh jaga roh amal
dalam setiap apa yang kita buat, insya-ALLAH, ALLAH akan sentiasa bantu kita
kejalan-Nya yang lurus. Susah sekali
hendak kita jaga roh amal ini. Inilah
yang dikatakan ilmu tasawuf yang orang tolak hari ini. Pada roh amal inilah letaknya kejayaan umat
Islam.
Jadi beramallah, berjuang
dan berjihadlah kerana ALLAH perintahkan demikian, tetapi rohnya perlu dijaga.
(Kuliah
di atas adalah petikan dari Bab ‘Roh Amal’ dalam buku ‘Langkah-Langkah
Perjuangan’ oleh Ustaz Ashaari Muhammad).