PERPADUAN MELAYU
(Sebelum saya buat ulasan dengan lebih lanjut, eloklah saya memperturunkan di sini buah ilmu dari Ustaz Ashaari Muhammad berhubung soal ‘Perpaduan Ummah’.
Kata2 ini dipetik dari buku beliau “Renungan untuk Mengubah Sikap” di dalam bab `Perpaduan Ummah Bermula Di Sekolah”)
“BERSATU
teguh, bercerai runtuh”
Begitulah bunyi pepatah Melayu yang menggambarkan betapa
pentingnya perpaduan dan bahayanya perpecahan. Artinya orang Melayu cukup faham
pentingnya perpaduan ini. Apalagi kalau Melayu itu Islam, soal perpaduan ini
akan jadi lebih penting baginya. Sebab dalam Islam Rasulullah sudah mengatakan,
"Berjemaah itu rahmat, berpecah-belah itu azab.” (Riwayat Al
Baihaqi)
Manakala Al Quran juga ada menyebut hal ini, terjemahnya,
"Berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah".
(Ali Imran 103)
Islam menginginkan kita hidup bersatu padu, berkasih
sayang, saling bantu dengan iman dan Islam sebagai pengikat. Ibarat batu-bata
yang tersusun, simenlah pengikatnya. Ini penting, kerana rahmat dan kekayaan
hidup bergantung kepada faktor itu.
Sebab itu kita lihat umat Islam pada zaman Rasulullah
bersatu padu dan saling berkasih sayang. Hasil didikan Rasulullah, kaum
muslimin menjadi seperti satu keluarga, bahkan satu badan.
Ini digambarkan dalam sabda baginda, “Kasih sayang
orang mukmin itu ibarat satu badan. Yang mana kalau satu anggota sakit, maka
anggota yang lain turut sakit”.
Demikianlah kasihnya seorang saudara kepada saudara
Islamnya yang lain sehingga terpaksa berjaga malam. Mereka dapat mengasihi
saudara se-lslamnya bagaikan saudara kandung.
Tepat seperti yang dikehendaki oleh Al Quran,
terjemahnya, "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara.” (Al
Huzurat: 10)
Sejarah persaudaraan orang Ansar dan Muhajirin
memperlihatkan dengan jelas rasa persaudaraan ini. Bagaimana umat Islam di
Madinah menyambut kedatangan umat Islam Mekah ke tempat mereka dengan penuh gembira
dan kasih sayang. Walhal mereka belum pernah berkenalan sebelumnya. Tapi rasa
seagama itu membuatkan mereka bagaikan adik beradik yang kasih mengasihi.
Rasulullah SAW
mempersaudarakan mereka dengan iman. Lalu mereka menjadi satu keluarga. Orang
Ansar memberikan apa saja yang diperlukan oleh orang Muhajirin. Makanan, wang,
tempat tinggal, pakaian, pekerjaan. Dan mereka hidup bersama-sama. Sama-sama
susah, sama-sama senang. Berkongsi rumah dan berkongsi kehidupan.
Sejarah
menceritakan bahawa terjadi juga peristiwa orang-orang Ansar yang ada dua
isteri bercadang untuk menceraikan salah satu daripadanya untuk dihadiahkan
kepada orang Muhajirin. Cuma orang Muhajirin tidak tergamak untuk menerimanya.
Hingga begitu sekali kasih sayang mereka. Begitu sekali kasihnya hati mereka.
Dan begitulah kuatnya iman mereka. Hasil didikan sekolah Rasulullah.
Sabda Rasulullah, “Seorang
mukmin terhadap mukmin yang lain itu seperti sebuah bangunan, menguatkan
sebahagiannya akan sebahagian yang lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kekuatan perpaduan
inilah yang menyelamatkan mereka daripada zina, rogol, rompak, pergaduhan,
peperangan, krisis dan tipu-daya musuh. Tiada rasuah, dadah, salah guna kuasa
atau lain-lain bentuk masalah masyarakat. Mereka benar-benar aman, makmur,
terhibur apabila bertemu dengan sesama mereka dan mendapat keampunan Allah.
Hal ini diwarisi
oleh umat Islam pada zaman berikutnya. Masyarakat Islam pada waktu itu menjadi
masyarakat contoh dan dijadikan tempat bernaung oleh bangsa-bangsa lain di
dunia, sekalipun bagi mereka yang tidak beragama Islam.
Pendidikan Islam
diterima di peringkat antarabangsa. Begitu juga politik, ekonomi, sosial dan
lain-lain aspek hidup Islam, semuanya diterima menjadi satu sistem hidup
masyarakat di dunia.
Dunia pada waktu
itu yakin dan menerima Islam kerana umat Islam telah dapat meyakinkan mereka
tentang keindahan Islam itu di dalam kehidupan mereka.
Keadaan masyarakat
yang demikian mesti bermula dari sekolah. Ia bermula dan dicetuskan di
tempat-tempat pengajian, antara murid dan guru.
Saya ingin memberi
contoh berdasarkan apa yang saya lalui dan alami.
Sewaktu saya
kecil, guru Quran saya, sekaligus seolah-olah bapa saya yang kedua, dan
rumahnya menjadi rumah saya yang kedua. Dan kawan-kawan sepengajian seperti
adik kakak dalam keluarga.
Guru itu bukan
saja mengajar mengaji Al Quran, tapi juga mencurahkan kasih sayang. Kalau ada
murid yang lapar, diberinya makan. Murid yang belum mandi disuruh mandi. Murid
yang kesusahan dibantu. Murid yang keletihan diajak tidur di rumahnya. Di luar
sekolahpun dia bertanggungjawab menjaga muridnya. Maka terjadilah hubungan
kekeluargaan yang begitu erat dan mesra. Kalau murid nakal, sebelum ibu bapa
menghukum, guru tadi dengan penuh tanggungjawab menghukumnya.
Ertinya, tugas sebagai
guru bukan sahaja dijalankan di rumahnya sewaktu mengaji, tapi sepanjang masa
dan di semua tempat. Perhubungan antara murid dan guru itu tidak terputus
sampai bila-bila. Sebab itulah hingga dewasa murid itu akan mengenangi gurunya.
Berhari raya mesti di rumah guru dan berziarah ke kampung ertinya berziarah
jugalah ke rumah guru.
Hal ini saya kira
tidak banyak berlaku di Malaysia.
Jarang sekali ada
kelas pengajian yang sekaligus menjadi kelas perpaduan dan kasih sayang.
Kelas-kelas itu bukan saja kelas mengaji Al-Quran tapi boleh menjadi mana-mana
kelas juga, sama ada di sekolah, di masjid atau di rumah tok guru, yakni boleh
melahirkan masyarakat yang boleh sehidup semati. Bukan masyarakat nafsi-nafsi.
Tolong-menolong dan bekerjasama menjadi budaya hidup mereka. Guru atau ulama
menjadi bapa kepada anak-anak sekampung. Di rumahnyalah tumpuan segala
perpaduan dan pertemuan.
Saya
menyaksikannya sendiri iaitu semasa saya kecil lagi, rumah saya tidak pernah
keputusan tetamu. Bapa saudara yang menjaga saya kebetulan adalah seorang guru
dan imam di kampung itu. Jadi, rumahnya menjadi seperti markas tempat tumpuan
orang kampung.
Setiap kali waktu
makan, kami tidak pernah makan sesama keluarga saja. Mesti ada orang lain yang
datang atau sengaja dijemput oleh bapa saudara saya itu. Sebagai guru, dia
tidak pernah makan seorang. Apabila nasi terhidang dia akan menunggu di pintu.
Siapa yang lalu di situ, nescaya dapatlah rezeki makan di rumah guru.
Begitulah kasih
sayangnya terhadap orang kampung. Makanan yang dihidang itu bukan semestinya
istimewa. Sambal ikan bilis pun tidak menjadi halangan untuk dia mengajak orang
makan. Yang penting ukhwah terjalin. Makanan itu pula biasanya dia yang
memasaknya. Isterinya cuma membantu.
Demikianlah akhlak
guru yang dapat saya saksikan. Kalau ada majlis kenduri di kampung, dialah yang
jadi tenaga utamanya, orang lain cuma selaku tenaga tambahan saja.
Apabila saya
bersekolah di Maahad Hishamuddin, antara yang menjadi guru saya ialah Sheikh
Mahmud Bukhari. Beliau ialah pengetua Maahad. Kasih sayang yang diberikan pada
muridnya memang luar biasa sebab kesannya terasa dalam hidup saya hingga ke
hari ini.
Saya adalah salah
seorang muridnya yang suka berziarah ke rumahnya. Apabila tiba waktu makan dia
sendiri yang menyendukkan makanan ke dalam pinggan anak muridnya. Diawasinya
majlis makan itu, mana yang kurang di pinggan cepat-cepat dia menambahkannya.
Dilayannya sampai setiap orang makan sepuas-puasnya. Hinggakan sewaktu makan
itu kami rasa bukannya murid, tetapi sebagai tetamu. Apabila makan buah,
kadang-kadang disuapnya ke mulut kami. Demikian kasih sayangnya. Sebab itu
hasil didikannya terbina ukhwah yang kuat dan dalam di hati manusia.
Pernah dalam
tahun-tahun 50an saya ziarahi beliau dengan niat menghadiahi beliau sedikit wang.
Lima ringgit waktu itu nilainya lebih kurang lima puluh ringgit sekarang. Waktu
itu saya sudah bekerja.
Tetapi guru ini,
akhlaknya sebagai guru sangat pemurah. Belumpun sempat saya hulurkan wang saya
itu dia telah lebih dahulu menghulurkan wangnya untuk saya sebanyak sepuluh
ringgit. Lebih banyak daripada ingin saya berikan kepadanya. Tak jadilah saya
keluarkan hadiah saya itu.
Demikianlah contoh
pendidikan oleh guru-guru atau ulama-ulama. Pendidikan yang mencetuskan ukhwah
dan perpaduan, bermula daripada guru dan murid, di sekolah atau di rumah.
Di sekolah dia
bertindak guru. Di rumah dia menjadi tuan rumah kepada tetamunya. Kalau
berjalan bersama-samanya, dia seolah-olah kawan. Di masjid, dia sebagai
pendidik. Sembahyang sunatnya banyak, membuatkan muridnya turut banyak
sembahyang.
Seorang lagi guru
saya yang telah menunjukkan akhlak yang luar biasa ialah Allahyarham Ustaz
Hakim (abang kepada Ustaz Hassan Azhari). Beliau bertugas sebagai nazir sekolah.
Tetapi dia juga mengajar di Maahad Hishamuddin secara sukarela.
Saya bersama tiga
orang kawan belajar di rumahnya pada sebelah malam. Kadang-kadang dia pulang ke
rumah pada pukul sepuluh malam dalam keadaan letih. Tetapi oleh kerana tidak
mahu menghampakan harapan kami, maka beliau meminta kami tunggu. Sesudah tidur,
hilang penat, beliau bangun pada kira-kira pukul satu atau dua malam dan mula
mengajar. Kelas tengah malam.
Begitulah
sanggupnya beliau memenuhi keperluan muridnya. Walhal beliau tidak mendapat
apa-apa upahpun daripada kami. Kasih sayang yang diberi cukup untuk membina
perpaduan yang kukuh antara murid dan guru.
Saya suka
menyebutkan di sini tentang Tok Kenali, yang namanya tidak asing lagi bagi
rakyat Malaysia. Kenapa beliau begitu masyhur dan sangat dikasihi terutama oleh
murid-muridnya?.
Ini adalah kerana
sifatnya sebagai guru yang pemurah dan penyayang kepada muridnya. Sebelum
mengajar beliau akan menyediakan makanan dan mengajak murid-muridnya makan
bersamanya. Hal ini menyebabkan kasih sayang murid tumpah padanya. Apalagi
dengan ilmu yang diberikan secara percuma tanpa apa-apa upah, walhal faedahnya
besar sekali. Tentu terjalin ikatan perpaduan yang kuat antara murid dan guru
tadi.
Seorang lagi guru
yang masyhur di Malaysia yang namanya dikenali hingga hari ini ialah Hj. Mohd.
Nor yang digelar Tuan Syeikh Gombak. Beliau ini pemurahnya tiada tandingan.
Kalau ke pasar,
selain daripada apa yang dibelinya, beliau akan mendapat macam-macam hadiah
daripada murid-muridnya dan daripada orang yang mengenalinya. Orang memberi
hadiah kepadanya kerana harapkan berkatnya. Apa yang berlaku ialah sebelum
sampai ke rumah, barang-barang tadi habis di jalan, disedekahkan kepada fakir
miskin. Orang bukan Islam pun tertarik kepadanya kerana akhlaknya itu. Kalau
membayar tambang beca, beliau akan berikan seberapa banyak yang dapat diambil
dari dalam poketnya, yang tentunya lebih berganda-ganda daripada sepatutnya.
Sifat beginilah
yang membuatkan murid-muridnya suka padanya. Terjalinnya hubungan yang erat
antara murid dan guru adalah punca tercetusnya perpaduan dan kasih sayang
antara manusia.
Sebab itu Hj.
Mohd. Nor berjaya membina sebuah masyarakat Islam yang kecil di Gombak, yang
cukup kuat jalinan perpaduannya. la bermula di sekolah yakni hasil didikan dan
pelajaran yang diajar oleh guru kepada murid.
Berlaku lagikah
keadaan ini dalam sistem pendidikan hari ini? Yakni keadaan guru dan murid yang
saling berkasih sayang. Dengan kata lain, pendidikan yang mencetuskan perpaduan
antara murid dan guru, yang kemudiannya itu terasa kesannya dalam masyarakat?
Untuk menjawab soalan ini terpaksa pula saya ceritakan bahawa selama ini saya selalu tertanya-tanya, mengapa para lulusan kita dari Universiti Al Azhar terutamanya dan juga yang balik dari India dan Pakistan tidak pun menyebut atau menceritakan hal hubungan baik mereka dengan guru mereka. Tidak juga ingin menziarahi atau memetik kata-kata guru. Yang diceritakan ialah tentang universiti tempat mereka belajar dan ilmunya, tapi tidak tentang kehidupan guru-gurunya. Sedangkan gurulah yang memberi ilmu bukan universiti.
Saya bertanya begitu kerana sepatutnya seorang murid mengasihi gurunya bagaikan anak kasihkan bapa. Itulah yang berlaku antara Rasulullah dan para sahabat. Juga antara guru dan murid seperti yang saya sebutkan sebelum ini. Tapi kenapa pengajian Islam hari ini tidak terjadi begitu?. Apa silapnya?
Alhamdulillah,
setelah mendapat kesempatan melawat ke tempat-tempat pengajian tersebut
khususnya di Mesir, yakni di Universiti Al Azhar hampir sepuluh kali, saya
mendapat jawapan bagi persoalan itu.
Rupa-rupanya cara
pengajian di sana dibuat begitu rasmi hinggakan guru tidak kenal muridnya, dan
murid tidak pedulikan gurunya.
Guru bersyarah dan
menulis sementara murid menyalin. Habis kuliah, guru cepat-cepat keluar dan
murid pun berebut-rebut mahu pulang. Mereka tidak tahu menahu antara satu
dengan yang lain. Guru tidak kasih akan murid-muridnya dan murid tidak sayang
akan guru-gurunya. Guru tidak tahu di mana muridnya tinggal dan murid tidak
tahu di mana rumah gurunya. Ilmu bertukar tangan dalam keadaan mereka tidak
kenal-mengenal. Rasa kasih sayang dan terhutang budi dan saling perlu
memerlukan tidak ada dalam hati-hati guru dan murid itu. Yang ada ialah guru
ingin jalankan tugas harian, murid pula hendak dapat sijil. Niat dan cita-cita
yang begitu telah membuang segala perasaan dan fitrah yang murni dari hati
manusia. Hingga terjadilah antara murid dan guru tidak bertegur sapa, tidak
bermesra dan tidak berkasih sayang. Tidak wujud perpaduan dan ikatan hati
antara mereka. Berdekatan tapi hati berjauhan.
Hal ini terjadi kerana tujuan belajar dan mengajar itu telah disalahertikan. Sebab itu lain pula hasilnya.
Tujuan belajar dan mengajar itu sebenarnya ialah untuk mengamalkan ilmu Allah, sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Dari tujuan itu akan terjadi dengan sendirinya nanti, guru memandang murid dengan kasih sayang. Manakala murid akan rasa terhutang budi dan berterima kasih serta sayang kepada guru. Itulah buah atau hasil daripada iman. Apabila kita buat sesuatu kerana Allah, hasilnya berbeza daripada apa yang kita buat bukan kerana Allah.
Apabila pengajian di universiti atau sekolah diniatkan untuk makan gaji, maka ilmu tidak menghasilkan perpaduan dan kasih sayang antara manusia. Bahkan di antara guru dan muridpun tidak ada perhubungan yang mesra.
Jikalau di dalam pusat-pusat pengajian Islampun perpaduan guru dan murid tidak berlaku, bagaimana halnya dengan pengajian-pengajian sekular?.
Sidang pembaca boleh menjawab sendiri. Kalau alim ulama pun tidak boleh mencetuskan kasih sayang antara murid dengan guru, apa yang diharap kepada mereka yang bukan ulama?.
Lihatlah hari ini di sekolah dan universiti, betapa sombongnya guru terhadap murid dan betapa derhakanya murid terhadap guru. Tanyalah kepada guru, sayangkah dia pada murid-muridnya?.
Dan tanyalah pula kepada murid, kasihkah dia pada guru?. Apabila keluar dari sekolah adakah mereka saling ingat-mengingati dan ziarah-menziarahi?. Jawabnya, tidak.
Kalau begitu, di
mana perpaduan yang sebenar?.
Jawabnya ialah di
mulut. Tidak di dalam hati dan dalam realiti kehidupan.
Seorang menteri
berada di pentas melaungkan perpaduan kepada rakyat di hadapannya. Itu
sebenarnya hanya slogan kosong yang tidak akan berhasil apa-apa. Sedangkan
antara murid dan guru yang tiap-tiap hari bertemu dan saling memerlukan pun
tidak lahir perpaduan, inikan pula mereka yang sekali-sekala berjumpa.
Tanya kepada menteri
itu siapa gurunya dan adakah ia ziarahi guru itu kerana kasih sayang. Kalau
jawapannya tidak, maka beritahu dia bahawa laungannya supaya rakyat bersatu
padu adalah sesuatu yang kosong.
Kalau kepada guru
yang mengajarnya pun dia tidak sayang, bagaimana dengan rakyat dia boleh
berkasih sayang sedangkan dia tidak memberi apa-apa untuk mereka. Apa lagi
kalau gayanya di pentas itu angkuh, penuh emosional dan mengugut-ugut serta
menakut-nakutkan rakyat.
Bukan begitu
caranya membina perpaduan, dan tidak semudah itu.
Perpaduan ialah
buah kasih sayang.
Sedangkan buah
kasih sayang yang hakiki antara manusia hanya akan wujud di dalam hati-hati
manusia yang beriman dan bertaqwa. Maknanya, asas perpaduan itu ialah iman dan
taqwa. Hanya hati yang suci yakni yang beriman yang akan selamat daripada
bersifat sombong, takbur, tamak, hasad dengki, dendam, bakhil dan lain-lain.
Selagi hati manusia berkarat dengan mazmumah-mazmumah ini, pekiklah perpaduan,
dalam seminar sebesar mana pun, nescaya tidak akan memberi hasil yang
diharapkan.
Pembinaan
perpaduan mesti dilakukan dalam sistem pendidikan yang berterusan. Di
pusat-pusat pengajian, guru mesti melaksanakan pcrkara-perkara yang boleh
mencetuskan kasih sayang antara diri mereka dengan murid. Perkara itu sedikit
sebanyak telah saya sebutkah di awal bab ini. Kalau sekolah, kolej dan
universiti boleh melahirkan orang yang berkasih sayang, dengan kata lain orang
yang berpadu, maka itulah langkah awal ke arah membina masyarakat yang berpadu.
ltulah perpaduan yang sebenarnya.
Ertinya, perpaduan
itu mesti bermula di tempat di mana ilmu itu diambil. Dipraktikkan oleh guru
terhadap muridnya.