“ROH AMAL”

 

ISLAM itu ada lahir, ada batin.  Ada jasad, ada roh.  Ada rangka, ada nyawa.  Islam itu ada kulit, ada isi.  Batin Islam atau roh Islam atau nyawa Islam atau intipati Islam itulah yang dikatakan rohul amal, yakni roh dalam kita bekerja, roh dalam kita bertindak, roh dalam kita melaksanakan sesuatu, roh dalam kita berjuang dan berjihad, roh dalam sebarang usaha ikhtiar kita, walau dalam bidang apa sekalipun dalam ibadah, dakwah, ekonomi, politik, pembangunan, pertanian, kesihatan, dan lain-lain.

 

Roh amal inilah yang hendak kita jaga sungguh-sungguh kerana ia merupakan nyawa, di samping kita tidak pula menafikan amal lahir atau syariat lahir yakni benda-benda yang dapat dilihat dengan mata lahir.

 

Roh amal itulah tempat pandangan ALLAH kerana ia merupakan intipati amal.  Lubbun daripada roh amal itulah ALLAH menilai.  Inilah yang dimaksudkan oleh Rasul dalam sabdanya, “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu”. (Riwayat Muslim).

 

Maksudnya, amalan lahir yang kita buat seperti rukuk, sujud, berdiri dan bacaan-bacaan dalam sembahyang, semuanya ALLAH tidak pandang kalau rohnya sudah tidak ada.  Begitu juga percakapan kita yang didengar oleh manusia, perjuangan kita dengan menggunakan tangan dan kaki, pergi ke sana ke mari, bermacam-macam bentuk pembangunan yang kita hasilkan dalam bidang ekonomi, pertanian dan sebagainya; semuanya tidak ada nilaian di sisi ALLAH kalau rohnya tidak ada.

 

Jadi ALLAH tidak melihat dan memandang gambaran lahir tetapi ALLAH melihat hati kita.  Roh usaha kita itu yang ALLAH pandang di samping usaha itu perlu dibuat.  Roh amal itu yang dipandang oleh ALLAH di samping amal itu perlu dibuat.  Roh jihad itulah yang ALLAH nilai di samping jihad itu perlu dilaksanakan.  Roh puasa itulah yang ALLAH beri markah di samping puasa itu perlu dibuat.  Begitulah seterusnya. Jadi dalam kita beramal, kedua-duanya lahir batin - mesti kita buat, tetapi penilaian ALLAH pada yang batin.

 

Islam ada rangka, ada nyawa; kedua-duanya perlu. Tetapi nyawa itulah yang dinilai oleh ALLAH. Jadi kalau usaha, ibadah, pembangunan, jihad atau apa saja yang kita cetuskan, sedangkan rohnya tidak ada, samalah seperti manusia yang sudah tidak ada nyawa. Ertinya sudah dianggap bangkai.  Manusia, walau bagaimana cantik sekalipun, kalau sudah tiada nyawa maka akan ditanam saja, tidak perlu disimpan lagi. Orang hormat kepada ratu cantik itu kerana rohnya atau nyawanya masih ada lagi.

 

Justeru itu, kita beribadah mesti berserta roh.  Kita berdakwah mesti berserta roh.  Kita berjihad mesti berserta roh.  Begitu juga kita bermusafir, bergaul, berilmu, berpadu, berdoa, berzikir, berekonomi, membangunkan pertanian, membangunkan kesihatan, berkumpul, dan sebagainya; semuanya mesti berserta roh.  Hinggakan diam kita pun mesti ada roh. Jadi roh amal perlu kita jaga kerana ia merupakan nilaian ALLAH SWT, di samping soal-soal lahir wajib juga dilaksanakan dan ia tidak boleh diabaikan.

 

Apa yang dimaksudkan dengan roh amal atau nyawa pada amal, pada usaha kita, pada perbuatan kita, pada ibadah kita itu?.

 

Sebagai contoh, berikut adalah beberapa amalan yang boleh kita nilai sama ada wujud atau tidak rohnya.

 

 

Roh Sembahyang

 

Kalau kita bersembahyang, roh sembahyang itu di antaranya ialah khusyuk, faham apa yang kita baca, hati berasa hina dan kecil di hadapan ALLAH, serta merasakan kebesaran dan kehebatan ALLAH SWT.

 

Bila ada roh yang begitu rupa dalam sembahyang, baru boleh dikatakan sembahyang.  Barulah amal sembahyang itu ALLAH terima.  Kalau tidak ada maka sujud kita tiada erti apa-apa, berdiri kita tiada erti apa-apa, kefasihan lidah kita membaca ayat-ayat tiada erti apa-apa.  Duduk berdiri kita dalam sembahyang sudah tiada erti apa-apa kalau roh sembahyang atau nyawa sembahyang kita sudah tidak ada.  Sembahyang yang sudah tidak ada roh ialah 'Sembahyang Bangkai'.

 

 

Roh Berdakwah

 

Contoh yang lain ialah roh dalam kita berdakwah seperti bercakap, menyampaikan risalah, buku, makalah dan sebagainya.  Bagaimanakah yang dikatakan dakwah yang ada roh atau dakwah yang ada nyawa itu?. Iaitu bilamana setiap pendakwah itu merasa apa yang dia buat itu satu tanggungjawab daripada ALLAH SWT, bukan daripada diri dia, dan bukan tanggungjawab daripada jemaah. Jemaah itu cuma sebagai landasan untuk dia berjuang.

 

Seolah-olahnya dia mewakili ALLAH. Ibarat kita mewakili raja atau perdana menteri atau menteri, bolehkah bersenang-senang?. Oleh itu, dalam berdakwah kita patut merasa kita mewakili ALLAH di dunia ini untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada umat manusia.  Inilah yang dikatakan mesti ada rasa tanggungjawab dalam soal dakwah kerana kita diperintahkan oleh ALLAH SWT supaya berdakwah.

 

Kita berdakwah membawa hati yang takut kepada ALLAH.  Takut-takut tersilap menyampaikan, atau tersilap menilai hukum.  Sebab, kadang-kadang apa yang kita sampaikan dan hukum yang kita beri dalam berdakwah itu didengar oleh ribuan orang.  Mereka akan berkeyakinan atau berpegang mengikut sebagaimana yang kita ucapkan atau sampaikan.  Kalau kita tersilap, bukan senang kita hendak jumpa setiap orang untuk membetulkan kesilapan kita.

 

Kalau apa yang kita sampaikan itu tidak tepat sebagaimana yang ALLAH dan Rasul perintahkan, bukan sahaja kita terpaksa bertanggungjawab di dunia tetapi juga di Akhirat kelak.  Inilah yang dimaksudkan, sewaktu kita berdakwah itu mesti ada rasa takut dalam hati.  Takut-takut dalam kita berdakwah itu kita tersalah dan tersilap.  Takut itu dalam hati, bukan pada telinga, bukan pada lisan.  Sebab itulah kalau kita berdakwah, kita kena bawa hati sama. Jangan hanya membawa lisan sahaja atau membawa cakap sahaja tanpa membawa hati.

 

Dan yang dikatakan roh dakwah lagi, kalau umpamanya dakwah kita orang ramai terima hingga mendorong mereka membuat perubahan, kita rasa syukur kepada ALLAH SWT.  Kerana itu adalah kuasa dan nikmat dari-Nya.  Rasa syukur itu dirasai oleh hati, bukan mulut, bukan telinga. Jadi kita mesti rasa syukur bila dakwah kita diterima orang.  Itulah di antara roh dalam kita berdakwah. Jadi kita berdakwah itu bukannya kerana hobi.  Bukan macam kita memancing ikan, memikat burung, main catur ataupun jogging - itu hobi. Jangan kita rasa berdakwah itu sebagai satu hobi tetapi hendaklah kita rasakan ia satu kewajipan yang telah ALLAH pikulkan kepada kita.

 

Oleh kerana kita hendak menyampaikan daripada pihak ALLAH, ia mestilah disertai rasa takut, rasa bimbang.  Oleh itu bila orang terima usaha dakwah kita itu, kita rasa syukur kepada ALLAH SWT.  Lebih-lebih lagi bukan untuk dibanggakan atau kerana minta dipuji.  Kalau roh dakwah ini sudah tidak dijaga walau bagaimana pandai dan fasih kita berdakwah, dan orang senang dengan apa yang kita sampaikan, tetapi ALLAH tidak senang.  Orang ramai redha tetapi ALLAH tidak redha.  Kerana roh dakwah sudah tidak ada di situ; kita hanya membawa rangkanya semata-mata.  Sedangkan rohnya sudah tiada.  Ertinya membawa 'Dakwah Bangkai'.

 

 

Roh Berjihad

 

Jihad ialah gerak diri kita, gerak kaki kita, gerak tangan kita, pergi ke sana-sini memerah otak untuk memikirkan bagaimana hendak menegakkan hukum-hukum ALLAH dalam kehidupan kita.  Memerah tenaga lahir dan batin kita untuk mendaulatkan Islam yakni agar hukum-hakam ALLAH itu mendapat tempat di tengah-tengah masyarakat.  Ini semua jasad lahir atau rangka pada jihad itu.  Rohnya, batinnya macam mana?.

 

Di antaranya, hati mesti dibawa sama dalam berjihad.  Hati mesti merasa jihad ini satu tanggungjawab atau satu kewajipan yang telah ALLAH pikulkan kepada kita.  Ertinya kita berjihad bagi pihak ALLAH, bukan bagi pihak diri kita, dan bukan bagi pihak jemaah kita. Jemaah itu hanya sebagai landasan untuk memudahkan kita berjuang dan berjihad  di tengah masyarakat.

 

Di antara roh jihad lagi ialah niat.  Niat itu ialah kerja hati; peranan batin.  Niat jihad ialah untuk meninggikan kalimah ALLAH yakni hukum ALLAH yang lima itu: yang Wajib dan yang Sunat hendak kita tegakkan dalam semua aspek kehidupan; yang Haram dan Makruh hendak kita hindarkan dari semua aspek kehidupan; dan yang Harus, kalau boleh kita jadikan ibadah.

 

Seterusnya, dalam waktu kita berjihad itu hendaklah kita berasa takut kepada ALLAH SWT.  Kerana jihad ini simpang-siurnya dan liku-likunya terlalu banyak, gelanggangnya terlalu luas; maka mudah saja tersalah dan tersilap. Jadi kena bawa hati sama dalam berjihad.  Hendaklah sentiasa ada rasa takut kalau-kalau tersalah dan tersilap.  Kalau perjuangan kita tersalah dan tersilap, bukan saja kita rugi dan akan terhukum di dunia bahkan di Akhirat lebih parah lagi ALLAH akan hukum kita.

 

Di antara roh dalam jihad lagi ialah harapkan bantuan daripada ALLAH.  Walaupun kita gigih dan aktif berjuang tapi hati mesti selalu saja bergantung kepada Tuhan.  Kerana mengikut pengajian dalam aqidah, usaha ikhtiar manusia itu tidak memberi bekas; yang memberi bekas atau yang menjayakan adalah ALLAH SWT.  Oleh itu dalam berjihad, hati mesti bergantung kepada ALLAH.  Mesti berharap kepada-Nya.

 

Kemudian, yang dikatakan roh jihad lagi ialah, dalam berjihad itu kita rasa lemah.  Walaupun kita ada banyak pengikut, alat kelengkapan yang cukup dan hebat, gelanggang jihad kita luas dan sebagainya, namun kita mesti rasa lemah di hadapan Tuhan.  Sebab kejayaan itu daripada ALLAH, bukan dari usaha ikhtiar kita walaupun usaha dan ikhtiar kita itu memang diperintahkan. Jadi walaupun riuh-rendah kita berjihad, sampai kadang-kadang mulut kita menempikkan kalimah ALLAHU AKBAR tetapi hati kita mesti tunduk dan mesti rasa lemah kepada Tuhan.

 

Seterusnya, dalam berjihad kita rasa syukur bila mendapat kejayaan dan kemenangan.  Ini juga roh jihad.  Hendaklah kita malu dengan ALLAH sebab kemenangan itu hadiah atau pemberian dari ALLAH. Ia merupakan rahmat dan nikmat dari-Nya.

 

Kemudian, bila kita kalah atau tidak berjaya umpamanya, hati jangan rasa kecewa. Yang baiknya, hati merasa diri berdosa yang kerananya ALLAH tidak tolong. Tidak bolehlah disalahkan itu dan ini.

 

Tetapi salahkan diri kita sendiri; ini tiada lain lantaran dosa-dosa kita hingga kita terhijab dari bantuan ALLAH.  Oleh itu, setiap kali kita menemui kegagalan dalam berjuang, hendaklah cepat-cepat ingat kembali kepada dosa.  Dosa itulah yang menghijab bantuan daripada ALLAH SWT.

 

 

Roh Musafir

 

Bagaimana pula roh amal dalam bermusafir, berekspedisi atau mengembara?.  Di antara rohnya, di dalam musafir hendaklah kita sentiasa peka dengan apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar.  Apa saja yang kita lihat dan yang kita dengar mestilah diambil iktibar dan pengajaran daripadanya.  Yang baik kita jadikan teladan, dan yang jahat kita jadikan sempadan.

 

Di antara roh bermusafir lagi umpamanya, terasa kebesaran ALLAH bilamana melihat alam atau melihat pemandangan. Dalam safar (pemusafiran) itu, hati terasa dilihat oleh ALLAH SWT.  Kalau dalam safar, hati tidak terasa dilihat oleh ALLAH, itulah yang kadang-kadang menyebabkan mata kita jadi mata keranjang.  Macam-macam benda yang bukan-bukan yang kita lihat nanti.

 

Oleh itu di dalam safar kita kena bawa hati sama iaitu terasa dilihat oleh ALLAH SWT.  Firman ALLAH, “ALLAH sentiasa bersama kamu di mana saja kamu berada. (Al Hadid: 4).

 

Maksudnya di mana saja kita berada, ALLAH Maha Melihat, bukan saja yang lahir malah sampai ke lubuk batin kita.

 

Di antara roh safar lagi, kalau di dalam musafir kila lihat orang buat maksiat, hendaklah masukkan ke dalam hati kita rasa insaf, moga-moga jangan kita melakukan perbuatan itu dan moga-moga jangan kita terjebak.

 

Kemudian, jika kita lihat kebajikan dan kebaikan, hati hendaklah terasa ingin untuk berbuat dan menirunya.  Kalaupun belum berkesempatan, hati setidak-tidaknya hendaklah bercita-cita atau pasang niat akan berbuat.

 

Dan di antara roh safar lagi, bila kita melihat orang yang dalam kesusahan atau mendapat kemalangan, hati rasa simpati dan rasa sedih walaupun tidak dapat memberi bantuan.  Jangan rasa gembira dengan kesusahan orang lain.

 

 

Roh Pergaulan

 

Contoh roh amal lagi, dalam kita bergaul sesama manusia, kita merendah diri walaupun kita ini orang pandai dan pintar atau mempunyai kedudukan yang tinggi.  Selain itu, kita sensitif dengan kebaikan yang dilihat.  Dalam pergaulan di tengah-tengah masyarakat, kadang-kadang kita lihat orang buat baik, seperti menolong orang atau berkorban.  Maka hendaklah kita sensitif dengan perbuatan itu dan terbitkan keinginan di dalam hati untuk menirunya pula.  Seolah-olah perbuatan baik mereka itu mencabar kita, mengapa kita tidak berbuat demikian?.

 

Dalam kita bergaul, kita tidak dapat mengelak daripada melihat maksiat umpamanya.  Maka hendaklah kita mengambil pengajaran daripadanya.  Hati mesti rasa takut dengan maksiat yang orang lain terlibat itu.  Dan hati rasa bimbang, kalau kita sama-sama terlibat dengannya.

 

Di antara roh dalam pergaulan lagi, hati rasa lapang berhadapan dengan bermacam-macam perangai manusia; maklum kita sedang bergaul di tengah-tengah masyarakat.  Kadang-kadang waktu kita hendak rehat, di masa itulah orang hendak jumpa kita.  Maka hendaklah lapangkan dada walaupun hati rasa tak senang.  Yang sebenarnya ALLAH hendak beri kita pahala waktu itu.  Inilah yang dikatakan Tasamuh - berlapang dada ketika bergaul dan berhadapan dengan berbagai-bagai ragam manusia.

 

Di antara roh dalam pergaulan lagi, belajar membaiki diri daripada orang.  Sebab, tidak kurang juga kita akan melihat orang-orang yang baik dalam pergaulan kita.  Itulah pengajaran lisanul hal untuk kita tiru.  Itulah tarbiah untuk diri kita.  Kalaulah perkara-perkara yang tersebut tidak ada dalam pergaulan kita, ertinya kita bergaul tanpa roh.  Nyawa pergaulan itu tidak ada.

 

 

Roh BerilmU

 

Kita bclajar hingga dapat ilmu, maka ilmu yang kita miliki itu dikira ada roh apabila ia sentiasa mengingatkan kita bahawa kita mempunyai banyak tanggungjawab kepada ALLAH yang mesti kita laksanakan. Jadi kalau kita memiliki ilmu yang begitu banyak tetapi ia tidak mengingatkan kita bahawa kita ada tanggungjawab kepada ALLAH, ini bermakna roh atau nyawa ilmu itu sudah tidak ada.  Yang ada hanya ‘mental exercise’ sahaja.

 

Oleh kerana roh ilmu mengingatkan kita akan tanggungjawab kepada ALLAH, maka bila kita ada ilmu, kita akan merasakan tanggungjawab yang semakin berat.  Makin banyak kita tahu, makin banyak pulalah tanggungjawab.  Mengingatkan tanggungjawab itu peranan hati.  Bila kita memiliki ilmu, ia mengingatkan kita akan perintah-perintah ALLAH sama ada yang wajib mahupun yang sunat yang hendak kita tegakkan. Ia juga mengingatkan kita akan perintah haram dan makruh yang hendak kita tinggalkan.

 

Di antara roh ilmu lagi, apabila kita memilikinya, ilmu itu akan mendorong hati kita cintakan Akhirat, cintakan ALLAH. Ia mendorong hati kita benci dengan dunia (yang tidak memberi manfaat untuk Akhirat).  Walaupun kita berjuang di dunia, menegakkan hukum ALLAH di dunia, mengatur masyarakat di dunia, mengambil kekayaan-kekayaan yang ALLAH halalkan di dunia yang semuanya itu diperintahkan olch ALLAH, namun hati tetap benci dengan dunia yang sentiasa saja hendak menipu kita.

 

Oleh itu di antara roh dalam berilmu itu, kita ulang lagi ialah, ia sentiasa menyedarkan hati kita bahawa dunia ini penipu, jahat dan hendak merosakkan kita.  Kalau kita rasa begitu terhadap dunia maka sudah tentu dunia tidak akan dapat tipu kita.  Ambillah dunia yang halal tapi ingat, kadang-kadang ia boleh merosakkan kita.  Carilah harta kekayaan tapi ingat, kadang-kadang ia menjahanamkan kita.  Berniagalah sebesar manapun tidak salah asalkan halal. Tapi ingat, jangan sampai ia merosakkan hati kita, merosakkan perpaduan antara kita.

 

Jadi kalau roh-roh dalam berilmu ini tidak kita miliki ertinya kita baru dapat rangka ilmu atau jasad lahirnya saja.  Yakni ilmu tanpa roh, atau dalam kata yang lain, 'ilmu-ilmu bangkai'.  Kalau ilmu-ilmu bangkai yang kita dapat, ia tidak boleh menyelamatkan kita daripada rasa sombong, megah, riyak dan lain-lain mazmumah lagi.

 

 

Roh Perpaduan

 

Bagaimana pula yang dikatakan roh amal dalam perpaduan?.  ALLAH suruh kita berpadu maka kenalah kita berpadu.  Perpaduan dan persatuan yang ALLAH suruh itu mesti ada rohnya.  Apakah roh perpaduan itu?.  Di antaranya, kita berpadu itu mesti disertakan Ukhuwah (rasa persaudaraan).  Ertinya jangan hanya fizikal kita saja yang bersentuh tapi hati tidak bertaut.

 

Seterusnya, perpaduan juga dikira ada roh bilamana ia disertakan rasa kasih sayang.  Kalau kita berpadu dan berkumpul tapi tiada rasa kasih sayang, maka amat berat rasanya kita hendak bertemu selalu. Kalau ada tersalah tersilap, lagi benci hendak bertemu.  Memang kalau tiada pautan hati, terasa benci hendak bertemu, lebih berat lagi kalau ada yang tersalah dan tersilap kepada kita.  Tapi kalau bertemu dengan hati, ada rasa kasih sayang antara satu sama lain hingga rindu-merindui.  Seminggu tidak berjumpa sudah bertanya-tanya, polan tu mana... Itulah roh perpaduan dan persatuan.  Bila ada kasih sayang, krisis dapat dihindarkan.  Kalau ada krisis pun, cepat padam, tidak berpanjangan kerana masih ada lagi pertautan hati.

 

Termasuk dalam roh perpaduan juga ialah doa mendoakan.  Doa itu tidak semestinya dengan angkat tangan atau bercakap tapi juga doa dalam hati.  Bila kita nampak kawan buat baik, hati rasa senang dan mendoakan, biarlah dia terus dalam kebaikan.  Bila kita tahu kawan ada melakukan kesilapan, hati merasakan mudah-mudahan jangan dia buat lagi.  Hati kita berdoa kepada ALLAH, mudah-mudahan ALLAH berikan kawan kita pimpinan, taufiq dan hidayah.  Kawan itu tidak dibenci, sebaliknya kalau boleh diberi nasihat.

 

Di antara roh-roh perpaduan lagi ialah ingin bertolong bantu, dan simpati atas kesusahan atau ujian yang menimpa kawan. Jadi kita berpadu bukan kerana pangkat atau kerana inginkan bantuan, atau kerana takutkan musuh. Juga bukan kerana ekonomi dan bukan kerana itu dan ini. Tetapi kerana ia tuntutan daripada ALLAH SWT.  Kalau kita berpadu kerana ALLAH maka indah sekali perpaduan itu.  Perpaduan itu akan sentiasa kukuh.

 

Kalau tidak, bermacam-macam krisis akan timbul.  Inilah 'perpaduan' yang wujud di kalangan manusia di seluruh dunia hari ini.  Mereka melaungkan "Mari bersatu, mari bersatu ... !". Tapi tukang cakap itulah yang membawa pecah belah.  Dia ajak orang ramai berpadu tetapi di sudut yang lain dialah pemecah belah umat.  Oleh itu roh perpaduan kena dijaga.  Kalau tidak nanti hanya berlaku pertautan fizikal tetapi tiada pertautan hati.  Pertemuan itu biarlah dengan tautan hati, bukan dengan tautan fizikal semata-mata yang tiada erti apa-apa.

 

Orang Mukmin itu, menurut Rasuluilah, ialah mereka yang “... jiwa (roh) mereka antara satu sama lain sentiasa ikat-mengikat (berangkai-rangkai, tiada putus-putus)”.

 

 

Roh Berdoa

 

Contoh roh amal dalam berdoa pula bagaimana?.  Doa itu dalam bahasa Melayunya 'meminta'.  Maka antara rohnya, mesti faham apa yang kita minta kepada ALLAH SWT.  Kalau kita minta (sesuatu) tapi tidak faham apa yang kita minta, maka ajaib juga.  Umpama kita minta sesuatu daripada Kerajaan, apabila ditanya balik, "Apa yang kamu minta?". Kita jawab, "Tidak tahu". Aneh juga.

 

Roh berdoa lagi, waktu berdoa itu rasa merendah diri dengan Tuhan. Ibarat kita hendak minta sesuatu daripada menteri umpamanya, janganlah cekak-cekak pinggang di hadapannya, sebaliknya mesti dengan bahasa yang lembut dan merendah diri. Jadi waktu kita berdoa itu mesti rasa merendah diri dan mengharap kepada Tuhan.

 

Termasuk juga roh berdoa, waktu berdoa itu kita yakin ALLAH terima doa kita. Jangan pula sewaktu berdoa hati kecil kita berkata, "Entahlah, akan ALLAH kabulkan atau tidak...". Ertinya, dalam meminta kita sudah jahat sangka dengan ALLAH.

 

Walhasil dalam apa saja yang kita buat, roh amal itu mestilah kita kekalkan.  Hinggakan diam pun mesti ada roh.  Roh dalam diam itu macam mana?.  Waktu diam itu, kita berfikir.  Berfikir tentang kebesaran ALLAH, berfikir tentang diri sendiri (sebagai hamba ALLAH dan khalifah-Nya), berfikir tentang dosa, berfikir tentang mati, berfikir tentang perjuangan, berfikir tentang Akhirat, berfikir tentang apa lagi pengorbanan yang hendak kita buat, berfikir tentang tanggungjawab yang belum kita laksanakan.

 

Sebab itulah, diam orang bertaqwa ini dianggap ibadah dan diberi pahala.  Kerana diamnya itu ada roh. Ia kadang-kadang lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bertaqwa yang nampaknya aktif di tengah gelanggang kehidupan ini.

 

Jadi amal ibadah kita, perjuangan kita, usaha kita dan lain-lain lagi; mesti mempunyai roh.  Kalau tidak, semua amal kita itu hanya rangka-rangka atau jasad lahir semata-mata.  Ia seperti bangkai sahaja.  Amal tanpa roh adalah sia-sia.  Kerana yang ALLAH nilai adalah rohnya; walaupun kita wajib beramal.  Oleh itu roh setiap amal hendakiah kita jaga agar ia ada nilai di sisi ALLAH SWT.

 

Kalau ibadah, perjuangan, jihad dan segala amal kita tidak ada roh, biasanya disebabkan apa?.  Biasanya berpunca dari cinta dunia, berpunca dari kasih kepada perempuan, kasih kepada pangkat, berpunca dari bermacam-macam dosa yang kita buat, dan berpunca daripada tidak faham.  Kadang-kadang kita buat juga amal ibadah, tetapi kerana kita tidak faham (jahil), amal ibadah kita itu tidak ada roh.

 

Bila tidak ada roh, ertinya kita beramal dalam lalai.  Mata berdakwah tapi rohnya tidak ada; ertinya berdakwah dalam keadaan lalai.  Kalau kita berekonomi walaupun berjaya dan dapat menegakkan yang halal tapi rohnya sudah tidak ada maka kita berekonomi dalam keadaan lalai.  Kalau kita bermusafir tanpa rohnya, ertinya bermusafir (dalam keadaan lalai.  Kalau kita mengajar walaupun mengajar ilmu Tuhan (ilmu tauhid, feqah dan tafsir sekalipun) tapi rohnya sudah tidak ada, ertinya mengajar dalam keadaan lalai.

 

Kalau kita belajar tapi tiada rohnya, ertinya kita belajar dalam keadaan lalai.  Kita berjemaah tiada roh, ertinya berjemaah dalam keadaan lalai.  Kita bertemu tapi tidak ada roh, maknanya bertemu dalam keadaan lalai.  Kita berjihad tanpa roh, ertinya berjihad dalam keadaan lalai.

 

Sifat lalai ini dimurkai ALLAH.  Lalai itu termasuk 'Dunia'.  Sebab yang dikatakan 'Akhirat' itu ialah sesuatu yang ada hubungan ingat kepada ALLAH.  Kalau tiada hubungan ingat kepada ALLAH, itu amal dunia namanya.  Sedangkan dalam Al Quran ada menyatakan: Jangan kamu menjadi orang yang lalai. (Al Araf. 205).

 

Oleh sebab itu, setiap usaha dan ikhtiar kita mesti disertakan rohnya.  Sebab rohnya itulah tempat nilaian ALLAH.  Inilah yang dimaksudkan oleh Hadis, “Hendaklah kamu takut kepada ALLAH di mana saja kamu berada, dan hendaklah kamu ikuti kejahatan itu dengan kebaikan; nescaya ia akan menghapuskannya.  Dan hendaklah kamu berakhlak sesama manusia dengan akhlak yang baik”. (Riwayat Ahmad, At Taymizi, Al Baihaqi).

 

Ertinya dalam masa kita berjihad, kita mesti ada rasa takut kepada ALLAH.  Begitu juga dalam masa kita bersembahyang, beramal ibadah, bermusafir, bergaul, bertemu dan berjemaah; mesti ada rasa takut kepada ALLAH. Jadi, adanya rasa takut dalam apa saja tindakan yang kita buat itulah sifat-sifat taqwa; itulah roh-roh amal yang telah digambarkan tadi.

 

Oleh kerana itulah dalam kitab ada dinyatakan, "Cukuplah dua rakaat sembahyang sunat tapi dikerjakan dalam keadaan takut kepada ALLAH SWT daripada beribu-ribu rakaat yang tidak disertakan rasa takut kepada ALIAH (roh amal itu tidak ada atau rasa taqwa tidak ada)”.

 

Jadi kita perlu membangunkan roh dalam setiap amal yang kita buat kerana di situlah nilai dari ALLAH.  Kalau kita boleh jaga roh amal dalam setiap apa yang kita buat, insya-ALLAH, ALLAH akan sentiasa bantu kita kejalan-Nya yang lurus.  Susah sekali hendak kita jaga roh amal ini.  Inilah yang dikatakan ilmu tasawuf yang orang tolak hari ini.  Pada roh amal inilah letaknya kejayaan umat Islam.

 

Jadi beramallah, berjuang dan berjihadlah kerana ALLAH perintahkan demikian, tetapi rohnya perlu dijaga.

 

(Kuliah di atas adalah petikan dari Bab ‘Roh Amal’ dalam buku ‘Langkah-Langkah Perjuangan’ oleh Ustaz Ashaari Muhammad).

 

ULASAN