PERPADUAN MELAYU

 

(Sebelum saya buat ulasan dengan lebih lanjut, eloklah saya memperturunkan di sini buah ilmu dari Ustaz Ashaari Muhammad berhubung soal ‘Perpaduan Ummah’.

 

Kata2 ini dipetik dari buku beliau “Renungan untuk Mengubah Sikap” di dalam bab `Perpaduan Ummah Bermula Di Sekolah”)

 

 

“BERSATU teguh, bercerai runtuh”

 

Begitulah bunyi pepatah Melayu yang menggambarkan betapa pentingnya perpaduan dan bahayanya perpecahan. Artinya orang Melayu cukup faham pentingnya perpaduan ini. Apalagi kalau Melayu itu Islam, soal perpaduan ini akan jadi lebih penting baginya. Sebab dalam Islam Rasulullah sudah mengatakan, "Berjemaah itu rahmat, berpecah-belah itu azab.” (Riwayat Al Baihaqi)

            

Manakala Al Quran juga ada menyebut hal ini, terjemahnya, "Berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah  dan janganlah kamu berpecah-belah". (Ali Imran 103)

 

Islam menginginkan kita hidup bersatu padu, berkasih sayang, saling bantu dengan iman dan Islam sebagai pengikat. Ibarat batu-bata yang tersusun, simenlah pengikatnya. Ini penting, kerana rahmat dan kekayaan hidup bergantung kepada faktor itu.

 

Sebab itu kita lihat umat Islam pada zaman Rasulullah bersatu padu dan saling berkasih sayang. Hasil didikan Rasulullah, kaum muslimin menjadi seperti satu keluarga, bahkan satu badan.

 

Ini digambarkan dalam sabda baginda, “Kasih sayang orang mukmin itu ibarat satu badan. Yang mana kalau satu anggota sakit, maka anggota yang lain turut sakit”.

 

Demikianlah kasihnya seorang saudara kepada saudara Islamnya yang lain sehingga terpaksa berjaga malam. Mereka dapat mengasihi saudara se-lslamnya bagaikan saudara kandung.

 

Tepat seperti yang dikehendaki oleh Al Quran, terjemahnya, "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara.” (Al Huzurat: 10)

 

Sejarah persaudaraan orang Ansar dan Muhajirin memperlihatkan dengan jelas rasa persaudaraan ini. Bagaimana umat Islam di Madinah menyambut kedatangan umat Islam Mekah ke tempat mereka dengan penuh gembira dan kasih sayang. Walhal mereka belum pernah berkenalan sebelumnya. Tapi rasa seagama itu membuatkan mereka bagaikan adik beradik yang kasih mengasihi.

 

Rasulullah SAW mempersaudarakan mereka dengan iman. Lalu mereka menjadi satu keluarga. Orang Ansar memberikan apa saja yang diperlukan oleh orang Muhajirin. Makanan, wang, tempat tinggal, pakaian, pekerjaan. Dan mereka hidup bersama-sama. Sama-sama susah, sama-sama senang. Berkongsi rumah dan berkongsi kehidupan.

 

Sejarah menceritakan bahawa terjadi juga peristiwa orang-orang Ansar yang ada dua isteri bercadang untuk menceraikan salah satu daripadanya untuk dihadiahkan kepada orang Muhajirin. Cuma orang Muhajirin tidak tergamak untuk menerimanya. Hingga begitu sekali kasih sayang mereka. Begitu sekali kasihnya hati mereka. Dan begitulah kuatnya iman mereka. Hasil didikan sekolah Rasulullah.

 

Sabda Rasulullah, “Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain itu seperti sebuah bangunan, menguatkan sebahagiannya akan sebahagian yang lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Kekuatan perpaduan inilah yang menyelamatkan mereka daripada zina, rogol, rompak, pergaduhan, peperangan, krisis dan tipu-daya musuh. Tiada rasuah, dadah, salah guna kuasa atau lain-lain bentuk masalah masyarakat. Mereka benar-benar aman, makmur, terhibur apabila bertemu dengan sesama mereka dan mendapat keampunan Allah.

 

Hal ini diwarisi oleh umat Islam pada zaman berikutnya. Masyarakat Islam pada waktu itu menjadi masyarakat contoh dan dijadikan tempat bernaung oleh bangsa-bangsa lain di dunia, sekalipun bagi mereka yang tidak beragama Islam.

 

Pendidikan Islam diterima di peringkat antarabangsa. Begitu juga politik, ekonomi, sosial dan lain-lain aspek hidup Islam, semuanya diterima menjadi satu sistem hidup masyarakat di dunia.

 

Dunia pada waktu itu yakin dan menerima Islam kerana umat Islam telah dapat meyakinkan mereka tentang keindahan Islam itu di dalam kehidupan mereka.

 

Keadaan masyarakat yang demikian mesti bermula dari sekolah. Ia bermula dan dicetuskan di tempat-tempat pengajian, antara murid dan guru.

 

Saya ingin memberi contoh berdasarkan apa yang saya lalui dan alami.

 

Sewaktu saya kecil, guru Quran saya, sekaligus seolah-olah bapa saya yang kedua, dan rumahnya menjadi rumah saya yang kedua. Dan kawan-kawan sepengajian seperti adik kakak dalam keluarga.

 

Guru itu bukan saja mengajar mengaji Al Quran, tapi juga mencurahkan kasih sayang. Kalau ada murid yang lapar, diberinya makan. Murid yang belum mandi disuruh mandi. Murid yang kesusahan dibantu. Murid yang keletihan diajak tidur di rumahnya. Di luar sekolahpun dia bertanggungjawab menjaga muridnya. Maka terjadilah hubungan kekeluargaan yang begitu erat dan mesra. Kalau murid nakal, sebelum ibu bapa menghukum, guru tadi dengan penuh tanggungjawab menghukumnya.

 

Ertinya, tugas sebagai guru bukan sahaja dijalankan di rumahnya sewaktu mengaji, tapi sepanjang masa dan di semua tempat. Perhubungan antara murid dan guru itu tidak terputus sampai bila-bila. Sebab itulah hingga dewasa murid itu akan mengenangi gurunya. Berhari raya mesti di rumah guru dan berziarah ke kampung ertinya berziarah jugalah ke rumah guru.

 

Hal ini saya kira tidak banyak berlaku di Malaysia.

 

Jarang sekali ada kelas pengajian yang sekaligus menjadi kelas perpaduan dan kasih sayang. Kelas-kelas itu bukan saja kelas mengaji Al-Quran tapi boleh menjadi mana-mana kelas juga, sama ada di sekolah, di masjid atau di rumah tok guru, yakni boleh melahirkan masyarakat yang boleh sehidup semati. Bukan masyarakat nafsi-nafsi. Tolong-menolong dan bekerjasama menjadi budaya hidup mereka. Guru atau ulama menjadi bapa kepada anak-anak sekampung. Di rumahnyalah tumpuan segala perpaduan dan pertemuan.

 

Saya menyaksikannya sendiri iaitu semasa saya kecil lagi, rumah saya tidak pernah keputusan tetamu. Bapa saudara yang menjaga saya kebetulan adalah seorang guru dan imam di kampung itu. Jadi, rumahnya menjadi seperti markas tempat tumpuan orang kampung.

 

Setiap kali waktu makan, kami tidak pernah makan sesama keluarga saja. Mesti ada orang lain yang datang atau sengaja dijemput oleh bapa saudara saya itu. Sebagai guru, dia tidak pernah makan seorang. Apabila nasi terhidang dia akan menunggu di pintu. Siapa yang lalu di situ, nescaya dapatlah rezeki makan di rumah guru.

 

Begitulah kasih sayangnya terhadap orang kampung. Makanan yang dihidang itu bukan semestinya istimewa. Sambal ikan bilis pun tidak menjadi halangan untuk dia mengajak orang makan. Yang penting ukhwah terjalin. Makanan itu pula biasanya dia yang memasaknya. Isterinya cuma membantu.

 

Demikianlah akhlak guru yang dapat saya saksikan. Kalau ada majlis kenduri di kampung, dialah yang jadi tenaga utamanya, orang lain cuma selaku tenaga tambahan saja.

 

Apabila saya bersekolah di Maahad Hishamuddin, antara yang menjadi guru saya ialah Sheikh Mahmud Bukhari. Beliau ialah pengetua Maahad. Kasih sayang yang diberikan pada muridnya memang luar biasa sebab kesannya terasa dalam hidup saya hingga ke hari ini.

 

Saya adalah salah seorang muridnya yang suka berziarah ke rumahnya. Apabila tiba waktu makan dia sendiri yang menyendukkan makanan ke dalam pinggan anak muridnya. Diawasinya majlis makan itu, mana yang kurang di pinggan cepat-cepat dia menambahkannya. Dilayannya sampai setiap orang makan sepuas-puasnya. Hinggakan sewaktu makan itu kami rasa bukannya murid, tetapi sebagai tetamu. Apabila makan buah, kadang-kadang disuapnya ke mulut kami. Demikian kasih sayangnya. Sebab itu hasil didikannya terbina ukhwah yang kuat dan dalam di hati manusia.

 

Pernah dalam tahun-tahun 50an saya ziarahi beliau dengan niat menghadiahi beliau sedikit wang. Lima ringgit waktu itu nilainya lebih kurang lima puluh ringgit sekarang. Waktu itu saya sudah bekerja.

 

Tetapi guru ini, akhlaknya sebagai guru sangat pemurah. Belumpun sempat saya hulurkan wang saya itu dia telah lebih dahulu menghulurkan wangnya untuk saya sebanyak sepuluh ringgit. Lebih banyak daripada ingin saya berikan kepadanya. Tak jadilah saya keluarkan hadiah saya itu.

 

Demikianlah contoh pendidikan oleh guru-guru atau ulama-ulama. Pendidikan yang mencetuskan ukhwah dan perpaduan, bermula daripada guru dan murid, di sekolah atau di rumah.

 

Di sekolah dia bertindak guru. Di rumah dia menjadi tuan rumah kepada tetamunya. Kalau berjalan bersama-samanya, dia seolah-olah kawan. Di masjid, dia sebagai pendidik. Sembahyang sunatnya banyak, membuatkan muridnya turut banyak sembahyang.

 

Seorang lagi guru saya yang telah menunjukkan akhlak yang luar biasa ialah Allahyarham Ustaz Hakim (abang kepada Ustaz Hassan Azhari). Beliau bertugas sebagai nazir sekolah. Tetapi dia juga mengajar di Maahad Hishamuddin secara sukarela.

 

Saya bersama tiga orang kawan belajar di rumahnya pada sebelah malam. Kadang-kadang dia pulang ke rumah pada pukul sepuluh malam dalam keadaan letih. Tetapi oleh kerana tidak mahu menghampakan harapan kami, maka beliau meminta kami tunggu. Sesudah tidur, hilang penat, beliau bangun pada kira-kira pukul satu atau dua malam dan mula mengajar. Kelas tengah malam.

 

Begitulah sanggupnya beliau memenuhi keperluan muridnya. Walhal beliau tidak mendapat apa-apa upahpun daripada kami. Kasih sayang yang diberi cukup untuk membina perpaduan yang kukuh antara murid dan guru.

 

Saya suka menyebutkan di sini tentang Tok Kenali, yang namanya tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Kenapa beliau begitu masyhur dan sangat dikasihi terutama oleh murid-muridnya?.

 

Ini adalah kerana sifatnya sebagai guru yang pemurah dan penyayang kepada muridnya. Sebelum mengajar beliau akan menyediakan makanan dan mengajak murid-muridnya makan bersamanya. Hal ini menyebabkan kasih sayang murid tumpah padanya. Apalagi dengan ilmu yang diberikan secara percuma tanpa apa-apa upah, walhal faedahnya besar sekali. Tentu terjalin ikatan perpaduan yang kuat antara murid dan guru tadi.

 

Seorang lagi guru yang masyhur di Malaysia yang namanya dikenali hingga hari ini ialah Hj. Mohd. Nor yang digelar Tuan Syeikh Gombak. Beliau ini pemurahnya tiada tandingan.

 

Kalau ke pasar, selain daripada apa yang dibelinya, beliau akan mendapat macam-macam hadiah daripada murid-muridnya dan daripada orang yang mengenalinya. Orang memberi hadiah kepadanya kerana harapkan berkatnya. Apa yang berlaku ialah sebelum sampai ke rumah, barang-barang tadi habis di jalan, disedekahkan kepada fakir miskin. Orang bukan Islam pun tertarik kepadanya kerana akhlaknya itu. Kalau membayar tambang beca, beliau akan berikan seberapa banyak yang dapat diambil dari dalam poketnya, yang tentunya lebih berganda-ganda daripada sepatutnya.

 

Sifat beginilah yang membuatkan murid-muridnya suka padanya. Terjalinnya hubungan yang erat antara murid dan guru adalah punca tercetusnya perpaduan dan kasih sayang antara manusia.

 

Sebab itu Hj. Mohd. Nor berjaya membina sebuah masyarakat Islam yang kecil di Gombak, yang cukup kuat jalinan perpaduannya. la bermula di sekolah yakni hasil didikan dan pelajaran yang diajar oleh guru kepada murid.

 

Berlaku lagikah keadaan ini dalam sistem pendidikan hari ini? Yakni keadaan guru dan murid yang saling berkasih sayang. Dengan kata lain, pendidikan yang mencetuskan perpaduan antara murid dan guru, yang kemudiannya itu terasa kesannya dalam masyarakat?

 

Untuk menjawab soalan ini terpaksa pula saya ceritakan bahawa selama ini saya selalu tertanya-tanya, mengapa para lulusan kita dari Universiti Al Azhar terutamanya dan juga yang balik dari India dan Pakistan tidak pun menyebut atau menceritakan hal hubungan baik mereka dengan guru mereka. Tidak juga ingin menziarahi atau memetik kata-kata guru. Yang diceritakan ialah tentang universiti tempat mereka belajar dan ilmunya, tapi tidak tentang kehidupan guru-gurunya. Sedangkan gurulah yang memberi ilmu bukan universiti.

 

Saya bertanya begitu kerana sepatutnya seorang murid mengasihi gurunya bagaikan anak kasihkan bapa. Itulah yang berlaku antara Rasulullah dan para sahabat. Juga antara guru dan murid seperti yang saya sebutkan sebelum ini. Tapi kenapa pengajian Islam hari ini tidak terjadi begitu?. Apa silapnya?

 

Alhamdulillah, setelah mendapat kesempatan melawat ke tempat-tempat pengajian tersebut khususnya di Mesir, yakni di Universiti Al Azhar hampir sepuluh kali, saya mendapat jawapan bagi persoalan itu.

 

Rupa-rupanya cara pengajian di sana dibuat begitu rasmi hinggakan guru tidak kenal muridnya, dan murid tidak pedulikan gurunya.

 

Guru bersyarah dan menulis sementara murid menyalin. Habis kuliah, guru cepat-cepat keluar dan murid pun berebut-rebut mahu pulang. Mereka tidak tahu menahu antara satu dengan yang lain. Guru tidak kasih akan murid-muridnya dan murid tidak sayang akan guru-gurunya. Guru tidak tahu di mana muridnya tinggal dan murid tidak tahu di mana rumah gurunya. Ilmu bertukar tangan dalam keadaan mereka tidak kenal-mengenal. Rasa kasih sayang dan terhutang budi dan saling perlu memerlukan tidak ada dalam hati-hati guru dan murid itu. Yang ada ialah guru ingin jalankan tugas harian, murid pula hendak dapat sijil. Niat dan cita-cita yang begitu telah membuang segala perasaan dan fitrah yang murni dari hati manusia. Hingga terjadilah antara murid dan guru tidak bertegur sapa, tidak bermesra dan tidak berkasih sayang. Tidak wujud perpaduan dan ikatan hati antara mereka. Berdekatan tapi hati berjauhan.

 

Hal ini terjadi kerana tujuan belajar dan mengajar itu telah disalahertikan. Sebab itu lain pula hasilnya.

 

Tujuan belajar dan mengajar itu sebenarnya ialah untuk mengamalkan ilmu Allah, sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Dari tujuan itu akan terjadi dengan sendirinya nanti, guru memandang murid dengan kasih sayang. Manakala murid akan rasa terhutang budi dan berterima kasih serta sayang kepada guru. Itulah buah atau hasil daripada iman. Apabila kita buat sesuatu kerana Allah, hasilnya berbeza daripada apa yang kita buat bukan kerana Allah.

 

Apabila pengajian di universiti atau sekolah diniatkan untuk makan gaji, maka ilmu tidak menghasilkan perpaduan dan kasih sayang antara manusia. Bahkan di antara guru dan muridpun tidak ada perhubungan yang mesra.

 

Jikalau di dalam pusat-pusat pengajian Islampun perpaduan guru dan murid tidak berlaku, bagaimana halnya dengan pengajian-pengajian sekular?.

 

Sidang pembaca boleh menjawab sendiri. Kalau alim ulama pun tidak boleh mencetuskan kasih sayang antara murid dengan guru, apa yang diharap kepada mereka yang bukan ulama?.

 

Lihatlah hari ini di sekolah dan universiti, betapa sombongnya guru terhadap murid dan betapa derhakanya murid terhadap guru. Tanyalah kepada guru, sayangkah dia pada murid-muridnya?.

 

Dan tanyalah pula kepada murid, kasihkah dia pada guru?. Apabila keluar dari sekolah adakah mereka saling ingat-mengingati dan ziarah-menziarahi?. Jawabnya, tidak.

 

Kalau begitu, di mana perpaduan yang sebenar?.

 

Jawabnya ialah di mulut. Tidak di dalam hati dan dalam realiti kehidupan.

 

Seorang menteri berada di pentas melaungkan perpaduan kepada rakyat di hadapannya. Itu sebenarnya hanya slogan kosong yang tidak akan berhasil apa-apa. Sedangkan antara murid dan guru yang tiap-tiap hari bertemu dan saling memerlukan pun tidak lahir perpaduan, inikan pula mereka yang sekali-sekala berjumpa.

 

Tanya kepada menteri itu siapa gurunya dan adakah ia ziarahi guru itu kerana kasih sayang. Kalau jawapannya tidak, maka beritahu dia bahawa laungannya supaya rakyat bersatu padu adalah sesuatu yang kosong.

 

Kalau kepada guru yang mengajarnya pun dia tidak sayang, bagaimana dengan rakyat dia boleh berkasih sayang sedangkan dia tidak memberi apa-apa untuk mereka. Apa lagi kalau gayanya di pentas itu angkuh, penuh emosional dan mengugut-ugut serta menakut-nakutkan rakyat.

 

Bukan begitu caranya membina perpaduan, dan tidak semudah itu.

 

Perpaduan ialah buah kasih sayang.

 

Sedangkan buah kasih sayang yang hakiki antara manusia hanya akan wujud di dalam hati-hati manusia yang beriman dan bertaqwa. Maknanya, asas perpaduan itu ialah iman dan taqwa. Hanya hati yang suci yakni yang beriman yang akan selamat daripada bersifat sombong, takbur, tamak, hasad dengki, dendam, bakhil dan lain-lain. Selagi hati manusia berkarat dengan mazmumah-mazmumah ini, pekiklah perpaduan, dalam seminar sebesar mana pun, nescaya tidak akan memberi hasil yang diharapkan.

 

Pembinaan perpaduan mesti dilakukan dalam sistem pendidikan yang berterusan. Di pusat-pusat pengajian, guru mesti melaksanakan pcrkara-perkara yang boleh mencetuskan kasih sayang antara diri mereka dengan murid. Perkara itu sedikit sebanyak telah saya sebutkah di awal bab ini. Kalau sekolah, kolej dan universiti boleh melahirkan orang yang berkasih sayang, dengan kata lain orang yang berpadu, maka itulah langkah awal ke arah membina masyarakat yang berpadu. ltulah perpaduan yang sebenarnya.

 

Ertinya, perpaduan itu mesti bermula di tempat di mana ilmu itu diambil. Dipraktikkan oleh guru terhadap muridnya.

 

ULASAN