EKONOMI ISLAM MENURUT KEHENDAK TUHAN
Akibat taufan Katrina,
krisis di Iraq dan juga pertumbuhan pesat industri negara-negara di Asia,
pengedaran minyak di seluruh dunia sudah tidak seimbang dan semua negara di
dunia merasai bahang kenaikan harga minyak ini.
Dalam Islam berniaga
bukan semata-mata untuk mencari untung kerana di dalam perniagaan tidak
semestinya kita sentiasa mendapat untung. Dalam perniagaan sering juga kita
menghadapi kerugian.
Tujuan perniagaan mengikut
Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan
aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala yang banyak.
Justeru itu di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari keredhaan
Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.
Mari kita lihat betapa
di dalam perniagaan itu luas sekali syariatnya atau luas sekali ibadah yang
berlaku di mana kebaikan dan pahalanya pula amat banyak sekali.
Di antaranya:-
1.
Di dalam
Islam berkawan itu disuruh. Di Akhirat kelak, kawan itu boleh memberi syafaat.
Melalui perniagaan, kita akan banyak dapat kawan sama ada dari kalangan
pembekal-pembekal, kawan-kawan sekerja ataupun para pelanggan.
2.
Melalui
perniagaan, kita dapat memberi khidmat secara langsung mahupun secara tidak
langsung kepada manusia dan ahli-ahli masyarakat. Ada Hadis yang bermaksud:“Yang paling baik di antara kamu ialah
kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”
3.
Islam sangat menggalakkan kerjasama. Di dalam perniagaan banyak terdapat
unsur-unsur kerjasama dan peluang serta keperluan untuk bekerjasama. Di dalam
Al Quran ada disebutkan maksudnya: “Bertolong bantulah di atas kebaikan dan
ketaqwaan.” (Al Maidah: 2)
4.
Di
dalam perniagaan juga ada banyak tolak ansur, iaitu satu sifat terpuji yang
sangat dianjurkan oleh Islam. Kalau tidak ada tolak ansur, kita tidak boleh
berniaga.
5.
Perniagaan
membantu dan memudahkan manusia dan ahli masyarakat mengurus dan mendapatkan
keperluan hidup mereka, terutama di bidang makan minum dan keperluan harian.
Mendahulukan, mengutamakan dan memudahkan orang lain itu sangat dipandang
tinggi dan baik dalam Islam.
6.
Dengan
berniaga kita dapat menyelamatkan barangan keluaran umat Islam sama ada hasil
pertanian, hasil ternakan dan lain-lain dengan mengumpul dan memasarkannya.
Kalau tidak, barangan itu akan rosak dan terbuang. Akan timbul pembaziran.
Dalam Islam pembaziran sangat dilarang. Menjauhi dan mengelak pembaziran adalah
satu kewajipan.
7.
Kita
dapat memperolehi banyak pengalaman melalui perniagaan sama ada di bidang
pengurusan, perakaunan, mengenal barang, mengenal tempat, mengenal cara hidup
dan masalah manusia dan lain-lain lagi. Dalam Islam, mencari ilmu dan
pengalaman seperti ini sangat dituntut.
8.
Dalam berniaga,
kita boleh berlatih sabar dalam menghadapi berbagai-bagai masalah perniagaan
dan dalam menghadapi berbagai-bagai kerenah pelanggan. Sabar adalah satu sifat
mulia (mahmudah) yang sangat diperlukan dalam kehidupan. Orang yang sabar
diberi pahala oleh Tuhan tanpa hisab.
9.
Berniaga
merupakan salah satu cara untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Ia
merupakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi supaya
dapat dilihat kebesaran Tuhan serta dapat dibesarkan dan dinikmati segala nikmat
dan anugerah-Nya agar manusia boleh bersyukur dan mendapat pahala pula di atas
kesyukuran mereka itu.
10.
Dalam
berniaga, kita berpeluang mengeluarkan zakat perniagaan. Dengan itu salah satu
dari rukun Islam dapat kita tunaikan. Dapat kita wujudkan salah satu sumber
atau saluran untuk membantu fakir miskin dan asnaf-asnaf yang lain. Banyak
golongan akan terbantu dan terbela.
11.
Dalam
perniagaan, kita dapat membuat latihan berlapang dada terutama apabila
berhadapan dengan karenah manusia. Ia sentiasa mencabar emosi dan perasaan
kita. Maka kita selalu sahaja menyembunyikan kemarahan kita. Menyembunyikan
kemarahan itu disuruh oleh Islam. Di dalam Quran ada disebut bahawa
menyembunyikan sifat marah itu adalah satu dari sifat orang bertaqwa.
12. Perniagaan memerlukan sifat berlapang dada,
bertolak ansur, bertimbang rasa, memberi maaf, berlebih kurang, bersimpati dan
sebagainya. Sifat-sifat ini terpuji dan sangat diperlukan dalam pergaulan.
Dalam Hadis ada disebut bahawa Islam
itu adalah as-samhah iaitu agama pemaaf dan berlapang dada.
13.
Perniagaan
mewujudkan peluang pekerjaan untuk manusia sebagai sumber mencari rezeki.
Dengan perniagaan, manusia boleh mengelak diri dari menganggur yang ditegah
oleh syariat. Sekaligus tenaganya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ertinya,
dengan adanya perniagaan, tenaga manusia tidak dibazirkan dan manusia itu boleh
jadi produktif dengan mengeluarkan hasil untuk faedah manusia lain.
Jelas bahawa dengan apa
yang disenaraikan di atas, begitu banyak sekali syariat Islam dapat kita tegakkan
melalui perniagaan. Maksudnya, berbagai-bagai aspek dalam Islam dapat kita
bangunkan di dalam perniagaan. Apabila banyak aspek syariat yang dapat kita
bangunkan maka banyaklah ibadah kita. Banyaklah pahala yang kita dapat. Oleh
itu, tidak hairanlah Islam menganggap orang yang berniaga secara jujur dan
menepati kehendak-kehendak syariat itu sebagai orang yang berjihad
fisabilillah. Munasabah juga berniaga itu dianggap kerja yang paling baik dalam
Islam kerana kebaikan yang diperolehi oleh masyarakat hasil dari perniagaan
adalah terlalu banyak.
Sekian
(Kuliah from http://www.rufaqadaily.com/isusemasa.asp)