APA ITU SEKULARISME ?
(From http://www.rufaqadaily.com/isusemasa.asp
)
Kita tidak perlu
membahas dan memperkatakan tentang erti perkataan sekular ini dari sudut
sejarah, siapakah tokoh yang menuturkannya lebih dahulu, di zaman bila dan mengapa
timbul perkataan ini kerana itu semua tidak penting bagi kita.
Apa yang penting bagi
kita, sebagai pegangan dan panduan agar kita tidak terjebak oleh faham sekular
atau sekularisme ini ialah pengertian sekular itu sendiri mengikut pandangan
Islam. Oleh itu perbahasan secara falsafah serta merujuk kepada sejarah dan
tokoh-tokoh yang memperkatakan perkataan itu, tidak perlu kita bawa di sini.
Ditakuti artikel ini terlalu panjang. Jadi kita hanya ambil yang perlunya
sahaja untuk menjadi pegangan kita bersama. Agar di dalam kehidupan kita,
walaupun di dalam bidang apa pun, kita tidak terjebak atau menempuh jalan
sekular ini.
Sekarang marilah kita
menghurai faham sekular ini mengikut pandangan Islam.
Faham sekular ialah
mengendalikan urusan kehidupan di dunia secara terpisah daripada agama, ia
tidak ada hubungan dengan Tuhan atau tidak ada hubungkait dengan Akhirat. Terpisah
ini tidak kira sama ada di bidang ekonomi, politik, pendidikan, pentadbiran,
kebudayaan, perhubungan dan lain-lain lagi. Dengan kata-kata yang lain, faham
sekular itu ialah faham keduniaan semata-mata. la tidak ada sangkut paut dengan
Akhirat.
Ertinya, bagi orang
yang berfaham sekular, hidup di dunia ini hanya habis di dunia. Kalau untung
pun hanya berlaku di dunia. Kalau rugi pun hanya berlaku di dunia. Sama ada
susah atau senang, hanya di dunia. la tidak akan dipersoalkan lagi di Akhirat.
Dosa dan pahala tidak masuk kira di sini kerana kehidupan itu hanya di dunia
semata-mata.
Di dalam faham sekular,
syariat tidak diambil kira. Syariat tidak ada tempat dalam kehidupan. Tuhan
tidak campur tangan di dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian manusia
boleh buat apa sahaja. Yang penting mendapat untung. Yang diperlukan adalah
pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak mendapat kemenangan dan kejayaan walau
apa cara sekalipun. Walau terpaksa menghalalkan cara. Halal dan haram jangan
difikirkan. Pantang larang jangan diambil kira.
Mengikut fahaman
sekular, dunia bukan jambatan untuk Akhirat atau bukan tanaman untuk Akhirat.
Segala apa yang berlaku di dunia ini hanya habis di dunia semata-mata. Tidak
timbul soal dosa dan pahala dalam faham sekular. Tidak ada kehidupan di Akhirat
atau tidak ambil pusing kehidupan di Akhirat. Kalaupun percaya dengan hari
Akhirat, tetapi acuh tidak acuh. Seolah-olah Akhirat itu hendak dilupakan atau
tiada. Bahkan sesetengah orang tidak senang dengan kehidupan Akhirat. Sebut
sahaja Akhirat, hati benci, mulut mencemik. Orang yang menyebut Akhirat
dirasakan kolot dan sudah ketinggalan zaman.
Golongan-Golongan
Sekular
Setelah kita menghurai
dan membahaskan erti faham sekular atau sekularisme maka di sini kita faham
bahawa mereka yang berfaham sekular itu boleh dibahagi kepada beberapa
kategori. Di antaranya seperti berikut:-
1.
Golongan yang berfaham sekular sejati (pure)
Golongan yang tidak
percaya langsung adanya Tuhan dan adanya kehidupan Hari Akhirat. Agama dianggap
candu kepada manusia. la adalah bikinan manusia. Wujudnya alam ini adalah
secara nature atau semula jadi. Orang atau golongan yang berpegang dengan faham
ini adalah orang yang berfaham komunis, atheis atau free thinker. Golongan ini
adalah orang yang berfahaman sekular yang sejati atau yang pure.
2.
Golongan orang-orang yang berfaham sekular yang
ter-sesat.
Golongan orang-orang
kafir yang percaya dengan Tuhan, dengan hari Akhirat dan percaya dengan agama
tetapi ti-dak kenal Tuhan. Keyakinannya dengan hari Akhirat tidak tepat.
Agamanya tersesat. Kehidupan dunianya terpisah dari agama. Dalam urusan
kehidupan di dunianya, seolah-olah Tuhan tidak campur tangan. Inilah golongan
faham sekular yang tersesat.
3.
Golongan orang-orang Islam yang yakin dengan wujud-nya
Tuhan.
Golongan orang-orang
Islam yang yakin dengan wujudnya Tuhan dan pengenalannya tentang Tuhan tepat.
Percaya dengan hari Akhirat secara tepat. Namun Islamnya hanya di sudut ibadah.
Persoalan kehidupan seperti ekonomi, politik, pendidikan, perjuangan dan
lain-lain tidak boleh dicampur aduk dengan Islam kerana kejahilan. Syariat
Islam tidak ada tempat di dalam kehidupan kecuali di sudut ibadah sahaja.
Selain ibadah, mereka boleh menerima apa sahaja pandangan ideologi atau akal
fikiran. Itulah golongan sekular disebabkan fasik.
4.
Golongan sekular disebabkan zalim.
Orang Islam seperti
golongan ketiga tadi tetapi yakin bahawa Islam itu adalah agama yang syumul. la
adalah agama seluruh kehidupan. Islam adalah agama ibadah, agama politik, agama
pentadbiran, agama ekonomi, agama pen-didikan tetapi mungkin kerana takut
dengan golongan-golongan tertentu, atau tidak sanggup menerima risiko yang
berat, kerana kepentingan peribadi atau kerana malu dan takut dituduh kolot
maka berlakulah syariat Islam ditinggalkan melainkan di sudut ibadah. Di
aspek-aspek kehidupan yang lain, syariat Islam tidak menjadi disiplin dan
peraturan. Inilah golongan sekular disebabkan zalim.
5.
Golongan sekular yang tertukar nawaitu.
Orang Islam yang
mengerjakan ibadah, berjuang, berekonomi, berpendidikan, berdakwah, berpolitik,
berhubung dan lain-lain lagi walaupun mengikut syariat tetapi bukan kerana
Allah Taala. Semua itu dibuat kerana riyak, ujub, nama, glamour, pangkat, wang
ringgit, sama ada disedari atau tidak. Oleh kerana itu pahalanya tidak sampai
di Akhi-rat. Itulah golongan sekular disebabkan tertukar nawaitu atau niatnya.
6. Golongan sekular yang disebabkan adanya unsur-unsur sekular atau
mementingkan dunia.
Golongan yang lebih
halus lagi daripada itu ialah apabila seseorang Islam itu, segala
usaha-usahanya mengikut syariat tetapi oleh kerana terlalu membesarkan
kehidupan dunia daripada kehidupan Akhirat, dia tidak sanggup mengeluar-kan
zakat lalu menjadi bakhil. Dia tidak suka membuat kebaikan, tidak suka menolong
orang, tidak suka berse-dekah, suka mengumpul harta sahaja dan menjadi tamak.
Itulah golongan sekular disebabkan adanya unsur-unsur sekular atau mementingkan
dunia.
Begitulah erti faham
sekular atau sekularisme mengikut pandangan Islam yang saya faham secara
ringkas. Jadi faham sekular ini hanya mementingkan dunia semata-mata. Percaya
dengan hari Akhirat tetapi tidak mengambil berat terhadap Akhirat. Sengaja
melupa-lupakan atau acuh tidak acuh dengan Akhirat kerana hati telah terpaut
dengan kehidupan dunia. Apatah lagi kalau seseorang itu tidak percaya langsung
dengan hari Akhirat. Kehidupan itu hanya di dunia semata-mata. Lebih-lebih
lagilah orang itu berfaham sekular yang sejati atau orang yang berfaham
keduniaan yang benar-benar pure.
Oleh yang demikian di
akhir zaman ini, majoriti penduduk dunia ini berfaham sekular. Sama ada mereka
berkeyakinan bahawa kehidupan ini hanya habis di dunia atau yang masih yakin
dengan kehidupan di Akhirat tetapi dari segi hati dan sikapnya, dia lebih
mementingkan kehidupan di dunia dari kehidupan Akhirat.
Di sini jugalah bahawa
umat Islam pun telah ramai yang menganut faham ini. Kalau tidak berfaham
sekular yang tulen pun setidak-tidaknya tempias-tempiasnya telah menyerang umat
Islam. Di sinilah rahsianya mengapa umat Islam tidak boleh bersatu. Hati umat
Islam telah dirosakkan oleh faham sekular atau faham sekularisme.
Sekianlah pandangan
saya ini. Kalau ada kebenarannya, maka ia adalah daripada Allah Taala yang Maha
Mengetahui. Kalau ada salah dan silapnya maka ia adalah daripada kelemahan saya
sendiri sebagai seorang yang tidak mempunyai pelajaran yang tinggi.
Wassalam
Ustaz Ashaari Muhammad